Nube kecewa BNM membisu Citigroup keluar dari Malaysia


Cadangan Citigroup untuk keluar daripada francais penggunanya di Malaysia akan membuka jalan kepada bank multinasional lain untuk mengambil tindakan sama, kata Nube. – Gambar EPA, 18 April, 2021.

KESATUAN Pekerja Bank Nasional (Nube) kecewa dengan Bank Negara Malaysia (BNM) yang membisu mengenai cadangan Citigroup Inc untuk keluar daripada francais penggunanya di 13 pasaran, termasuk Malaysia.

Setiausaha Agung Nube J Solomon berkata BNM sepatutnya bersuara terhadap cadangan bank yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu, yang menurutnya akan membuka jalan kepada bank multinasional lain untuk mengambil tindakan sama.

“BNM hanya membisu ketika ia sepatutnya menyuarakan rasa tidak senang atas cadangan Citigroup untuk keluar dari daripada francais pengguna.

“Sikap membisu BNM akan mendorong bank multinasional lain mengambil pendekatan sama, yang seterusnya memberi kesan buruk kepada pekerja dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Khamis lalu Citigroup mengumumkan hasrat untuk keluar daripada francais penggunanya di 13 pasaran, termasuk Malaysia, susulan perolehan yang merosot ketika ekonomi AS kembali pulih.

Citigroup dalam kenyataan berkata bank itu akan mengendalikan francais perbankan pengguna di Asia dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika hanya dari Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu dan London.

Selain Malaysia, 12 perniagaan lain yang terjejas termasuklah francais pengguna di Australia, Bahrain, China, India, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Poland, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Solomon berkata ketua pegawai eksekutif Citi Malaysia tidak mengulas mengenai jaminan jangka panjang bagi pekerja berikutan pengumuman bank itu.

“Sebaliknya, beliau hanya berkata tiada perubahan yang ketara kepada operasi dan keperluan kakitangan,” katanya, sambil menambah pengumuman itu sudah pasti membimbangkan pekerja mengenai masa depan mereka. – 18 April, 2021.   

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen