Citigroup keluar dari Malaysia dan 12 negara lain


Dalam kenyataan semalam, Citigroup berkata bank itu akan mengendalikan francais perbankan pengguna di Asia dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika hanya dari Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu dan London. – Gambar EPA, 16 April, 2021.

CITIGROUP Inc berhasrat untuk keluar daripada francais penggunanya di 13 pasaran, termasuk Malaysia.

Dalam kenyataan semalam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jane Fraser berkata bank itu akan mengendalikan francais perbankan pengguna di Asia dan Eropah, Timur Tengah dan Afrika hanya dari Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu dan London.

“Ini menempatkan kami untuk meraih pertumbuhan yang kukuh dan pulangan yang menarik yang ditawarkan oleh perniagaan pengurusan kekayaan melalui hab penting ini.

“Walaupun 13 pasaran lain mempunyai perniagaan yang amat baik, kami tidak mempunyai skala yang diperlukan untuk bersaing,” katanya, sambil menambah 12 perniagaan lain yang terjejas termasuklah francais pengguna di Australia, Bahrain, China, India, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Poland, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Fraser berkata modal, dolar pelaburan dan sumber lain bank itu digunakan dengan baik berbanding peluang pulangan yang lebih tinggi dalam pengurusan kekayaan dan perniagaan institusinya di Asia.

“Kumpulan pelanggan institusi Citigroup akan terus memberikan perkhidmatan dalam pasaran ini, yang kekal penting kepada rangkaian global Citi,” katanya.

Sementara itu, CEO Citi Malaysia Usman Ahmed berkata Citi telah berada di Malaysia selama lebih 60 tahun dan pengumuman global hari ini tidak akan menjejaskan komitmen jangka panjangnya terhadap Malaysia atau rantau Asia Pasifik.

“Dengan penempatan semula yang strategik ini, kami akan dapat terus melabur sumber kami dalam perniagaan institusi yang berkembang dengan pesat di Malaysia.

“Selain itu, pusat penyelesaian Citi kami di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang juga kekal sebagai hab operasi yang sama pentingnya untuk Citi, yang mana kami melakukan jutaan transaksi kewangan bernilai lebih AS$29 trilion (AS$1=RM4.12) setahun untuk lebih 50 negara di seluruh dunia,” katanya.

Usman berkata tiada perubahan yang ketara kepada operasi dan keperluan kakitangan berikutan pengumuman tersebut.

Bagi suku pertama 2021, kumpulan itu melaporkan pendapatan bersih sebanyak AS$7.9 bilion atau AS$3.62 setiap saham dicairkan ke atas perolehan sebanyak AS$19.3 bilion.

Kumpulan itu melaporkan pendapatan bersih sebanyak AS$2.5 billion, atau AS$1.06 setiap saham dicairkan, ke atas perolehan sebanyak AS$20.7 bilion pada suku pertama tahun lepas.

Fraser berkata paras modal kumpulan juga kekal kukuh dan stabil, membolehkan bank memenuhi keperluan pelanggannya dan mengembalikan modal kepada pemegang sahamnya.

“Kami melaporkan pendapatan bersih yang didorong oleh prestasi yang kukuh dalam kumpulan pelanggan institusi kami.

“Walaupun perolehan perbankan pengguna global merosot suku kepada suku berikutan pandemik, ini adalah prestasi yang terbaik yang kami lihat apabila pengguna keluar daripada krisis dalam sejarah baru-baru ini,” katanya. – Bernama, 16 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen