Terlalu banyak data Covid-19 mengelirukan, kata Nube 


Setiausaha Agung Nube J Solomon mencadangkan kementerian agar menggunakan kaedah seragam sebagaimana yang digunakan JKJAV atau kaedah yang digunakan sebelum ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2021.

DATA baharu yang ditetapkan Kementerian Kesihatan berhubung status Covid-19 di Malaysia mengelirukan masyarakat, kata Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube). 

Setiausaha agungnya J Solomon mencadangkan kementerian agar menggunakan kaedah seragam sebagaimana yang digunakan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), atau kembali kepada kaedah yang digunakan kementerian sebelum ini. 

“Kajian Nube mendapati terdapat tiga atau empat data setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan. 

“Yang pertama adalah statistik yang dikeluarkan laman CovidNow, biasanya pada tengah hari, manakala yang kedua adalah posting Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang dikeluarkan menerusi akaun media sosialnya dan satu lagi kenyataan Kementerian Kesihatan pada petang setiap hari,” katanya. 

Solomon berkata apa pun data atau statistik yang digunakan, ia sepatutnya konsisten bagi membolehkan data diperoleh dengan tepat dan tidak mengelirukan, terutamanya kepada media yang sentiasa mahu menyampaikan maklumat terkini kepada umum.

“Adakalanya kita menerima angka lama yang dibawa ke depan atau kes backlog, berbanding butidan pada 12 tengah malam atau petang,” katanya.

Beliau berkata ini mengelirukan masyarakat dan menimbulkan persoalan sama ada angka yang diberikan boleh dipercayai dan diterima. 

“Malaysia memperuntukkan sejumlah besar dana untuk membangunkan teknologi maklumat bagi tujuan pengumpulan data,” katanya. 

Katanya mereka berharap kerajaan tidak berkompromi dengan ketelusan dan ketekalan dalam pentadbiran mereka. 

“Kerajaan sebelum ini telah berkompromi dari segi ketelusan dan juga kepercayaan,” tambahnya.
 
Sehubungan itu, Solomon berkata Kementerian Kesihatan mesti memilih kaedah yang konsisten dan seragam, tanpa mengira bila tarikh akhir laporan.

“Nube tidak pasti sama ada Kementerian Kesihatan sedang dalam proses pembaharuan kaedah pelaporan data harian ketika ini.

“Namun demikian, Nube berharap Kementerian Kesihatan akan mengkaji kaedah laporan terkini untuk memudahkan masyarakat memperoleh informasi terbaru dan menghindari persepsi negatif tentang proses laporan harian semasa.” – 16 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen