Pandemik hapuskan sumber pendapatan pemuzik


Raevathi Supramaniam

Industri seni dan hiburan antara yang paling teruk terjejas dengan pelaksanaan PKP sejak Mac 2020. – Gambar AFP, 27 Jun, 2021.

DJ dan kumpulan muzik yang sebelum ini membuat persembahan di kelab dan pub terpaksa mencari kerja lain untuk menyara kehidupan sejak lebih setahun lalu disebabkan Covid-19 menyekat satu-satunya sumber pendapatan mereka.

Mereka kini melakukan pelbagai pekerjaan, daripada jurulatih kecergasan, pedagang kripto sehinggalah membuka perniagaan sendiri untuk menyara hidup.

Walaupun ada antara mereka memberitahu The Malaysian Insight yang mereka bergelut dengan kekurangan pendapatan sekarang, ada juga menemui peluang kerjaya baharu.

Kelab malam dan pub ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasa pada Mac tahun lepas. Malaysia sekali lagi diletakkan dalam PKP penuh bermula 1 Jun hingga 28 Jun 2021.

 Aizad Fauzi, pemain dram kumpulan Arjuna, berkata dia melakukan pelbagai kerja seperti mengecat rumah disamping mengajar kelas dram dalam talian untuk menyara hidup.

“Saya terpaksa buat banyak kerja. Ada yang berkaitan muzik, ada yang tak. Pendapatan saya turun naik, tetapi pendapatan serumah masih lagi okay.

“Nasib baik isteri saya juga bekerja, kerjanya okay, tetapi pendapatan saya ada masanya baik, ada masa tak berapa baik,” kata Aizad kepada The Malaysian Insight.

Aizad adalah pemuzik sepenuh masa dan mula bermain bersama Arjuna lebih dua tahun lalu. Sebelum ini, pendapatannya sekitar RM1,200 hingga RM1,500 seminggu dengan bermain muzik di pub.

Sebelum pandemik, kumpulan itu membuat persembahan mingguan di Tom, Dick and Harry’s di Ara Damansara dan Bangsar, serta di The Tree House di Solaris, Mont Kiara.

Aizad yang mempunyai dua anak berkata, hasil kerja mengecat yang dibuatnya sebelum kuncitara terbaru, dia sempat menyimpan sedikit duit.

“Buat masa ini saya terima kerja berkaitan muzik yang saya boleh buat dari rumah, seperti sesi langsung dalam talian. Orang juga upah saya untuk pemprograman muzik. Semua ini saya boleh buat di studio di rumah.”

Dua lagi ahli kumpulannya juga kini menyara hidup dengan kerja berkaitan muzik seperti terlibat dengan proses susun muzik album dan bekerja sebagai jurujual di kedai muzik.

Melissa-Jo Lim, DJ yang dahulunya membuat persembahan di Kyo di Mandarin Oriental, Wicked di W Hotel dan Dragonfly pula berkata, dia kini menjadi jurulatih kecergasan sepenuh masa untuk menyara hidup.

“Semasa PKP pertama (Mac 2020), saya buat beberapa persembahan dalam talian untuk Kyo, selepas itu tidak ada lagi. Tiga bulan PKP, kelab dan gim tak dibenarkan buka, jadi saya mula menjadi jurulatih kecergasan sepenuh masa. Saya juga dapat sijil jurulatih kecergasan. Sekarang saya buat sepenuh masa,” katanya.

Lim kini bekerja di Flyproject, mengajar sesi angkat besi, latihan berjeda keamatan tinggi (HIIT) dan kelas berbasikal dalam rumah sebanyak dua hingga tiga kali seminggu, dalam talian.

Walaupun kini dia bekerja, Lim berkata dia masih bergelut dengan beban kewangan disebabkan sumber pendapatannya teruk terjejas.

“Agak mustahil untuk dapat apa yang saya dapat sebelum ini sebagai DJ, terutama bila dah biasa dengan gaya hidup begitu. Gaya hidup saya sekarang sangat berbeza. Saya memang kena perlu berjimat,” katanya.

Lim berkata sejak 15 bulan lepas, dia kehilangan hampir RM100,000 pendapatan yang boleh diperolehinya jika dia masih seorang DJ.

Dia juga kehilangan peluang pekerjaan di luar negara, sebelum ini dia bekerja sekali sebulan atau sekali dua bulan di seluruh Asia sebagai DJ. – 27 Jun, 2021.

Berita penuh di sini. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen