Seni foto sebagai alat melawan perkauman tebal, xenofobia


Hailey Chung Wee Kye

Tunjang utama projek mereka ini berasaskan hasrat untuk menunjukkan kewujudan "orang lain" dan kepelbagaian kaum di Malaysia yang bukanlah memberi ancaman, sebaliknya menjadi rahmat buat Malaysia. – Gambar ihsan Amin Kamrani dan Allie Hill, 22 November, 2020.

PERCUBAAN untuk melawan perkauman tebal dan xenofobia, terutamanya terhadap pendatang asing ketika ini oleh pihak berwajib termasuk masyarakat sendiri masih tidak menampakkan sinar harapan yang tinggi, kata dua seniman yang berniat untuk mengubah naratif kotor itu.

Oleh itu, penggiat kreatif Allie Hill, 48 dan Amin Kamrani, 25, menggunakan kelompopngan ini untuk mengangkat kepelbagaian penduduk di Kuala Lumpur atas semangat untuk merapatkan jurang sentimen inklusiviti ini.

Menggabungkan bakat reka bentuk grafik Allie dan kepakaran fotografi Amin, mereka memulakan projek zine fotografi pembinaan bangsa yang diberi nama “Portraits of a Diverse City - Stories of Migration in Kuala Lumpur” atau dalam bahasa Malaysia, “Potret Bandar Majmuk - Kisah Migrasi di Kuala Lumpur”.

Tunjang utama projek mereka ini berasaskan hasrat untuk menunjukkan kewujudan “orang lain” dan kepelbagaian kaum di Malaysia yang bukanlah memberi ancaman, sebaliknya menjadi rahmat buat Malaysia.

Justeru, mereka dapati sekarang adalah masa sesuai memandangkan pandemik Covid-19 ini membuatkan rakyat jadi tidak rasional.

“Walaupun ramai marah dan takut dengan apa yang berlaku sekarang ini, mereka akan mencari kambing hitam untuk dipersalahkan, terutamanya kepada masyarakat yang paling lemah,” kata Amin kepada The Malaysian Insight.

Amin, kelahiran Iran, menjadikan KL sebagai rumahnya sejak 2011 manakala rakan projeknya, Allie, adalah Cina generasi ketiga Malaysia.

Pengembaraan seni mereka mengumpulkan pengalaman dari dua sisi dan memaparkan kisah-kisah inspirasi dari rakan pendatang mereka.

Melalui tema Allie, beliau mengangkat isu xenofobia di Malaysia yang sehingga kini masih tidak selesai dan masih sensitif.

“Kuala Lumpur bandar yang rencam budaya. Sejak awal, pertemuan dua sungai berlumpur ini memberi sumber timah dan peluang pekerjaan sehingga menarik pendatang dari China, Sri Lanka, India dan seluruh Nusantara.

“Bagaimana kita rakyat Malaysia, sebagai anak-anak migran, sampai hati untuk kata bahawa migran lain tiada hak untuk berkongsi kekayaan dan pembangunan? Terutamanya dlaam konteks ekonomi global yang saling berkait?

“Bagi saya muhibbah itu, dalam konteks ketidaksempurnaan dan kesusahan, kita masih dapat cari titik temu kemampuan dan skil termasuk kemurahan hati dan kesopanan supaya kita dapat hidup bersama dengan aman.”

Allie berkata beliau sedang menumpukan kepada projek untuk memecahkan buruk sangka dan prejudis tersembunyi yang ada dalam naluri sesetangah orang.

“Inisiatif seperti ini bagus tetapi saya sedar bahawa mereka hanyalah plaster kecil yang berusaha menampal luka yang sangat besar, kita masih perlu menangani persoalan yang sangat menyakitkan ini dengan jujur.

“Mungkin kita harus berhenti mendengar kata-kata ahli politik dan mula mendengar isi hati kita sendiri,” kata Allie.

Edisi perdana majalah yang dibiaya oleh Diverse Voices Media Grant 2020 dari Projek Dialog kini diterbitkan dan tersedia untuk ditonton.

“Geran yang kami terima mungkin tak banyak, tapi itu pun sudah cukup membantu menghasilkan projek ini.

“Mesej projek kami sangat penting sehingga kami bersedia mewujudkannya walaupun tidak ada dana dan sokongan,” kata Amin. – 22 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen