Festival Filem Antarabangsa Hainan ketiga buka tirai pada Sabtu 


Festival kali ini menghidangkan sebanyak 4,376 filem menarik. – Gambar Facebook, 6 Disember, 2020.

FESTIVAL Filem Antarabangsa Pulau Hainan (HIIFF) ketiga yang berlangsung di bandar Sanya membuka tirainya pada Sabtu menyaksikan penyertaan penggiat seni perfileman daripada 114 negara dan wilayah.

Anjuran bersama Kumpulan Media China (CMG) dan kerajaan di Hainan, festival kali ini menghidangkan sebanyak 4,376 filem menarik.

Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) wilayah Hainan, Shen Xiaoming dalam ucapan pada majlis perasmiaan berkata, dengan kelebihan daripada segi dasar keutamaan serta statusnya sebagai destinasi pelancongan berprestij, Hainan berupaya menyediakan pelbagai sumber  berkualiti tinggi dari seluruh dunia.

“Ini menjadi asas untuk Hainan membantu memajukan industri perfileman, sekali gus muncul sebagai platform interaksi dan perkongsian ilmu antara budaya China dan Barat,” katanya.

Sementara itu Presiden CMG, Shen Haixiong dalam ucapannya berkata  festival yang diadakan pada masa sukar ini memberi  makna sangat besar dan istimewa kepada pengusaha perfileman serta penonton dari seluruh dunia.

Penganjurannya yang dibuat mengikut jadual  membuktikan pemulihan pantas industri filem China, pada masa sama membawa sinar harapan kepada usaha masyarakat global dalam memerangi wabak Covid-19. – Bernama, 6 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen