MKN bincang keperluan batal acara hiburan


Alfian Z.M. Tahir

MKN akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenai keperluan menghentikan semua acara hiburan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2020.

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia sekiranya terdapat keperluan menghentikan semua rancangan hiburan selepas seorang penyanyi diuji positif Covid-19.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini belum ada keputusan dibuat oleh MKN dan perkara itu akan dibincangkan sebelum keputusan dapat dibuat.

“Saya menyedari kejadian itu dan saya diberitahu penyanyi itu tidak dijangkiti virus semasa membuat persembahan.”

“Kami akan berbincang dengan kementerian (Komunikasi dan Multimedia) jika terdapat keperluan menutup semua rancangan hiburan,” katanya.

Media melaporkan semalam, episod ketiga pertandingan separuh akhir Muzik Muzik TV3 ditangguhkan, selepas penyanyi Alif Satar mengesahkan beliau diuji positif Covid-19.

Alif membuat persembahan pada episod pertama separuh akhir di Plaza Alam Sentral di Shah Alam pada Jumaat.

Penyanyi dan pelakon itu berkata beliau kini menjalani rawatan dan kuarantin di sebuah pusat perubatan di Melaka mulai Ahad.

Minggu lalu, Ismail Sabri berkata acara hiburan seperti malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian akan berjalan seperti dijadualkan kerana ia tidak dilarang di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat.

Ismail Sabri berkata, acara seperti itu termasuk dalam kategori acara hiburan yang dibenarkan dan tertakluk kepada SOP. – 23 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen