Finas terbuka terima pandangan, cadang sesi townhall maya, kata timbalan pengerusi


Finas melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendapatkan kebenaran bagi aktiviti penggambaran dalam tempoh PKP 2.0 untuk mengimbangi aktiviti ekonomi industri kreatif dan meminimumkan impak penularan Covid-19. – 10 Februari, 2021.

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sentiasa terbuka dalam menerima cadangan dan pandangan sekiranya wujud perkara berbangkit serta perkara itu perlu disampaikan melalui saluran yang betul, kata Timbalan Pengerusi Finas Norman Abdul Halim.

Beliau dalam kenyataan hari ini yang mewakili ahli-ahli perbadanan itu berkata Finas bercadang mengadakan sesi ’townhall’ secara maya bersama penggiat industri kreatif bagi membincang  penambahbaikan untuk merealisasi agenda bersama dalam mengantarabangsakan industri kreatif tempatan serta memenuhi aspirasi warga industri kreatif.

“Finas juga tidak meminggirkan perihal kebajikan warga penggiat industri kreatif tempatan dengan melaksanakan Program Finas Prihatin, pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Komuniti Seni Prihatin dan pelaksanaan Insentif Saringan Prihatin.

“Ia memberi manfaat terhadap penggiat industri kreatif tempatan dalam mendepani cabaran penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata Finas melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah mengambil langkah proaktif mendapatkan kebenaran bagi aktiviti penggambaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 seperti yang diumumkan pada 8 Februari lepas untuk mengimbangi aktiviti ekonomi industri kreatif dan meminimumkan impak penularan Covid-19.

 Norman berkata KKMM turut melancarkan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat industri kreatif negara dalam mendepani impak pandemik Covid-19.

Beliau berkata pakej rangsangan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 9,000 penggiat industri kreatif serta berupaya mewujudkan sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan melibatkan penyediaan peruntukan sebanyak RM89.2 juta.

Norman juga memaklumkan bahawa seluruh ahli dan pihak pengurusan Finas menzahirkan sokongan penuh kepada kepimpinan Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

“Sepanjang kepimpinan mereka, Finas berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi antaranya pelancaran Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA), penawaran Dana Kandungan Digital (DKD) dan Program Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC).

Finas merupakan badan yang bertangungjawab dalam memajukan industri kreatif Malaysia berdasarkan peruntukan di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244). – Bernama, 10 Februari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen