Mural diconteng: Siapa yang kita marahkan?


Haris Hauzah

CUBALAH sebentar kita diam. Tinggalkan kehidupan kita yang sibuk itu. Tanggalkan seluar dan baju. Cuba berlari tanpa pakaian pergi ke pantai. Melihat indah gebu awan di antara biru langit dan lautan.

Tanyakan: apa yang dapat kita mengerti, rasa dan faham kalau semua keindahan dunia ini musnah?

Beberapa hari lalu, kita diberitakan ada karya seni mural yang telah dicabul dan dirosakkan.

Mural potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama potret Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, menteri agama Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di Seksyen U12 Shah Alam yang dilukis awal bulan ini telah diconteng dan ditulis dengan kata kejian.

Tindakan vandalisme jahat itu segera mendapat perhatian. Tidak perlu menunggu lama untuk menaikkan banyak sekali rasa kemarahan. Baik dalam kalangan pemimpin pembangkang mahupun kerajaan, semuanya mengutuk dan meminta pelakunya ditangkap segera dan dibawa ke pengadilan.

Polis segera membuka kertas siasatan. Majlis Bandaraya Shah Alam terus ke lokasi mural di Taman Cahaya Alam bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

Sekaligus kerja seni tiga orang artis iaitu Muhammad Suhaimi Ali, Muhamad Firdaus Nordin dan Abdul Hadi Ramli yang mengambil masa dua minggu untuk siap dihilangkan.

Begitulah realiti dan hakikat yang dihadapi oleh banyak seni jalanan. Artis dan seniman yang mengerah idea dan mengering keringat menghasilkannya harus selalu siap untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan.

Lalu apa sebenarnya yang kita semua peranjatkan, terkejut sampai kejat?

Memang begitulah nasib banyak sekali seni jalanan. Adakala ia dimalukan, ada waktu ia dirosakkan dan ada masa ia dihilangkan. 

Hal ini mengingatkan kita suatu peristiwa hitam yang pernah berlaku pada Julai 2016 apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sewenang-wenangnya merobohkan arca Puncak Purnama karya Syed Ahmad Jamal atas alasan yang dungu.

Ramadan pada tahun itu disambut dengan suram. Seluruh keluarga Syed Ahmad Jamal dan komuniti seni berjuang sehabis mampu menuntut agar arca itu dapat dikekal atau paling tidak boleh dipertimbang untuk dipindahkan. 

Namun semua suara itu tidak dihiraukan. Perjuangan mempertahankan karya seni oleh para seniman diabaikan. Perjuangan mereka langsung tiada siapa endahkan.

Tidak ada kerabat diraja menggesa agar salah satu khazanah seni negara itu dipertahankan. Tidak ada Lim Guan Eng, Fahmi Fadzil atau Ahmad Maslan yang bersuara mahu arca itu diselamatkan.

Suara tuntutan dan gesaan oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara melalui pengerusinya agar pihak DBKL menimbang isu dan membincangkan semula keputusan mereka, langsung tidak dihiraukan. 

Semuanya kerana kenyataan menteri Wilayah Persekutuan ketika itu: “DBKL perlu merobohkannya kerana ia terlalu usang dan tiada cara untuk membaik pulih keadaan arca berkenaan. Ia adalah pilihan terbaik kerana ia sudah menyakitkan pandangan dan kita tak mahu ia mengganggu sesetengah orang.” 

Puncak Purnama yang dihasilkan pada tahun 1986 oleh seorang seniman besar dan menjadi antara mercu tanda seni di tengah ibu kota akhirnya hancur musnah jadi debu.

Tiada siapa dapat memadamkan sejarah dan hakikat itu. Malah ia jadi satu beban sejarah duka industri seni yang panjang, bahawa karya seni dan seniman di negara ini sering diabai, tak dipeduli, diperlekeh serta jarang mahu sewajarnya dirai dan diberikan pengiktirafan.

Seandainya tidak, masakan karya seperti arca Puncak Purnama yang dihasilkan oleh seorang seniman agung seperti Syed Ahmad Jamal semudah itu saja dimusnahkan tanpa benar-benar diperjuangkan.

Itulah beban yang ditanggung oleh seluruh komuniti seni di Malaysia sepanjang memperkatakan seni dan karya yang dimusnahkan.

Lalu apa sebenarnya yang kita semua peranjatkan? Apa yang buat kita semua rasa marah? 

Adakah kerana karya yang dimusnahkan itu potret orang-orang besar kenamaan?

Apa yang harus kita sedarkan bukanlah dua orang suspek wanita yang terlihat dalam kamera litar tertutup itu.

Sebagai salah seorang ahli dalam masyarakat, semua kita harus kembali sedar. Sesungguhnya kita hari ini tinggal dalam masyarakat yang abstrak. Masyarakat abstrak yang kabur dan tidak jelas dalam banyak perkara, isu dan hal.

Masyarakat abstrak adalah suatu keadaan di mana seluruh masyarakatnya dikuasai dan diurus oleh sistem yang dihasilkan manusia.

Ketokohan dan jasa pengorbanan sudah tidak terpandang lagi, kerana kuasa yang dimiliki oleh seseorang dalam sistem yang akan lebih diambil pertimbangan dan diberatkan.

Masyarakat abstrak seperti ini gagal melihat kepentingan dan keutamaan. Malah kebenaran dan keadilan sudah tidak punyai apa-apa nilai.

Pertimbangan intelek dan kebijakan seperti kesenian hanyalah bakat. Sementara karya-karya yang mahu diperjuangkan hanyalah hasil-hasil pengagungan politik dan sosok kekuasaan pada sistem.

Masyarakat jenis ini bukan masyarakat yang benar-benar menyayangi dan menghargai karya seni dan seniman. Kerana sistem telah sepenuhnya mengambil alih karektor masyarakat dalam pengaturan sikap, pemikiran dan tindakan.

Jadi cubalah sebentar kita bertenang. 

Tinggalkan sekejap kehidupan kita yang sering kalut mengejar-ngejar kebendaan. Tanggalkan seluar berupa pangkat dan baju berbentuk jawatan. Cuba berlari tanpa pakaian di pantai. 

Lihat indah gebu awan di antara biru langit dan lautan. Tanyakan: apa yang dapat kita mengerti, rasa dan faham kalau semua keindahan dunia ini musnah?

Siapa dan apakah yang sebenarnya kita marahkan? – 23 Julai, 2020.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen