Walau terhimpit waktu PKP, anak seni cekal tampung kehidupan


Zaim Ibrahim

Putra Iqmal yang bergiat di Langkawi tidak lagi dapat meraih sebarang pendapatan dan terpaksa bertukar karier untuk meneruskan kehidupannya sejak PKP dikuatkuasakan. – Gambar Facebook, 6 April, 2020.

APABIILA satu demi satu tempahan mengadakan persembahan mula dibatalkan sejak Januari, penyanyi dan pemuzik Putra Iqmal Hashim mula memahami kesan penularan Covid-19.

Beliau yang bergiat di Langkawi itu menyedari tempahan bilik hotel di pulau itu sudahpun banyak dibatalkan ekoran penurunan jumlah pelancong apabila China mula diserang Covid-19.

Kini apabila Malaysia menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Putra Iqmal tidak lagi dapat meraih sebarang pendapatan dan terpaksa bertukar karier untuk meneruskan kehidupannya.

“Di Langkawi, saya biasanya buat persembahan di majlis korporat dan juga hotel-hotel untuk melayan tetamu mereka.

“Sejak bulan Januari lagi pendapatan saya mula terjejas apabila beberapa hotel membatalkan kontrak saya kerana pihak hotel juga mahu berjimat akibat kadar penghunian semakin menurun.

“Sejak 18 Mac saja, dua jemputan nyanyian dibatalkan. Hasil persembahan yang patutnya saya boleh dapat RM1,200, kini terus tidak dapat apa-apa,” jelasnya yang biasanya meraih RM3,000 sebulan.

Beliau kemudian bersama seorang rakan menjalankan perniagaan menghantar makanan untuk meneruskan kehidupan.

“Waktu awal-awal, mati akal juga tapi kemudian saya ambil keputusan kerja sebagai penghantar makanan dan muzik letak tepi dahulu.

“Pelanggan kebanyakan orang Langkawi juga, sekarang nak keluar beli makanan pun susah, jadi sehari bolehlah dapat RM40 dan tambahan 10% hasil jualan makanan yang dihantar,” jelasnya.

Putra Iqmal Hashim (tengah) kini menjalankan perniagaan menghantar makanan untuk meneruskan kehidupan. – Gambar Facebook, 6 April, 2020.

Sarjana muzik berusia berusia 25 tahun itu berkata beliau bernasib kerana mempunyai sedikit simpanan  tetapi tidak menyangka wabak Covid 19 akan bertambah kritikal.

Paling mengecewakannya, beliau terpaksa menangguhkan pernikahan dengan pasangan yang dijadualkan pada Ogos kerana simpanan itu terpaksa digunakan semasa PKP.

Seorang lagi pemuzik yang bergiat di Kuala Lumpur, Izmarezam Mhd Aziz berkata wabak Covid 19 juga menyebabkan beberapa persembahannya mula dibatalkan sejak Januari.

“Saya ada persembahan tetap di beberapa tempat di Kuala Lumpur. Setiap bulan saya akan buat persembahan disitu dengan anggaran pendapatan dalam lingkungan RM4,000.

Tapi, sejak PKP saya tidak lansung boleh buat persembahan yang akibatkan pendapatan bulanan terjejas teruk,” jelas pemuzik berusia 40 tahun itu yang berasal dari Sungai Dua, Pulau Pinang.

Izmarezam yang lebih dikenali sebagai Tam itu bagaimanapun tidak luntur semangat kerana masih meneruskan kegiatan muziknya melalui platform Facebook.

“Sehari dua hari selepas PKP, saya tidak ada lansung rancangan untuk buat apa. Apabila tengok di Facebook dan video di Youtube, mula tergerak hati untuk buat persembahan melalui Facebook Live.

“Persembahan ini pada awal sekadar suka-suka, tetapi saya fikir ada baiknya letak nama dan nombor akaun jika ada penonton yang mahu beri sumbangan.

“Alhamdulillah, baru tiga kali bersiaran secara lansung, saya mempunyai ribuan penonton dan jumlah sumbangan pun memuaskan, bolehlah untuk tahan dua tiga hari,” jelas bapa kepada tiga anak itu.

Kata Tam, pada waktu sekarang, bantuan daripada mana-mana pihak bukanlah pilihan utamanya.

“Selagi boleh kayuh (usaha), kita kayuh. Bantuan-bantuan ini pilihan terakhir saya.

“Sebab itu saya guna Facebook, ini pun untuk keuntungan sendiri dan dalam keadaan sekarang, kita perlu satu medium yang cepat untuk jana pendapatan,” tambahnya.

Izmarezam Mhd Aziz atau Tam (kanan) meneruskan kegiatan muziknya melalui platform Facebook. – Gambar Facebook, 6 April, 2020.

Golongan artis dan penggiat seni merupakan antara pihak yang banyak membuat pertanyaan untuk mendapat maklumat mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin.

Pakej dengan dana keseluruhan RM250 bilion itu diumumkan pada 27 Mac antara lain menyediakan bayaran sehingga RM1,600 untuk empat juta isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, pertanyaan mengenai dana bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat PKP itu antaranya dikemukakan persatuan artis serta buskers

Turut terjejas, seorang tokoh kebudayaan negeri Pulau Pinang, Omar Md Hashim, 66, yang menggerakkan kumpulan seni tradisional Boria Omara dan Ghazal Party Fajar Irama.

Beliau kini hanya dapat meneruskan kehidupan dengan wang pencen RM700 sebulan kerana persembahan dua kumpulan itu dibatalkan dan menyebabkan mereka kerugian hampir RM20,000.

“Bagi kumpulan boria, kami ada persembahan tetap setiap bulan di pelabuhan kapal untuk menyambut tetamu, berjumlah RM1,000 sekali persembahan tetapi dah tangguh sejak Januari lagi.

“Dalam tempoh PKP pula, lebih lima persembahan yang telah dijanjikan terpaksa batal,” katanya.

Malah persembahan yang dijadualkan beberapa hari sebelum PKP berkuatkuasa juga dibatalkan kerana orang sudah pula panik dengan penularan Covid-19, tambahnya.

Omar Md Hashim (tengah) yang menggerakkan kumpulan seni tradisional Boria Omara dan Ghazal Party Fajar Irama berkata persembahan dua kumpulan itu dibatalkan dan mereka kerugian hampir RM20,000 susulan PKP dikuatkuasakan.  – Gambar Facebook, 6 April, 2020.

Kumpulan itu kini lumpuh tanpa sebarang pendapatan dan amat menjejaskan ahlinya yang bekerja sepenuh masa sebagai penggiat seni.

“Keadaan seperti ini pertama kali dalam hidup saya berlaku, sepanjang aktif dalam dunia seni lebih 40 tahun,” katanya.
Untuk mempertahankan seni tradisional boria itu terus hidup, beliau kini merancang mencipta sebuah lagu boria mengenai wabak Covid-19.

“Saya akan minta ahli-ahli kumpulan nyanyikan lagu dan saya akan jadi tukang karut. Kemudian saya gabung video-video itu, untuk muat turun ke dalam saluran Youtube.

“Saya buat percuma sahaja supaya seni boria akan terus hidup, tidak harap apa-apa sumbangan,” ujarnya lagi.

Sehingga semalam, sebanyak 3,662 kes positif Covid-19 direkodkan dalam negara dengan 61 kematian dan Kementerian Kesihatan menjangka jumlah kes memuncak pada pertengahan April.

Ia memberi gambaran bahawa PKP mungkin terpaksa dilanjutkan sekiranya keadaan masih belum reda.

Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar orang ramai tetap tidak berhimpun dalam tempoh enam hinggal 12 bulan selepas PKP ditamatkan. – 6 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen