Pulau Pinang keluar garis panduan seni budaya di tengah Covid-19


Pulau Pinang menjadi negeri pertama keluarkan garis panduan untuk membantu ruang seni dan budaya dibuka semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2020.

PULAU Pinang mengeluarkan garis panduan untuk membantu ruang seni dan budaya dibuka semula selaras dengan syarat-syarat keselamatan kesihatan yang ditetapkan oleh kerajaan, menjadikannya negeri pertama berbuat demikian ketika perintah kawalan pergerakan mula dilonggarkan bersyarat sejak awal Mei.

Garis panduan itu akan menjadi pertimbangan utama untuk pertubuhan seni dan budaya membuat keputusan mengenai kegiatan yang boleh mereka anjurkan di tengah wabak Covid-19, kata Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin.

“Setakat ini Pulau Pinang adalah negeri pertama yang mengeluarkan garis panduan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun mengingatkan garis panduan itu tidak muktamad, tidak merangkumi semua aspek industri, dan akan dikemas kini dari masa ke masa.

“Garis panduan ini dari segi skopnya memang tidak dibuat menyeluruh atau komprehensif dan tidak semua perkara terpakai untuk semua badan.

“Kami menggalakkan pengamal serta badan seni dan budaya menggunakan garis panduan ini sebagai asas untuk mereka merancang dan menyesuaikan keperluan khusus mereka dengan syarat kesihatan (yang ditetapkan),” katanya.

Garis panduan itu akan dikemas kini selaras dengan perkembangan semasa pandemik Covid-19, tambahnya.

Garis panduan itu antara lain mencadangkan supaya pemilik ruang seni dan budaya menetapkan jumlah pengunjung pada satu-satu masa, membenarkan hanya mereka yang kelihatan sihat dan tidak mempunyai simptom jangkitan pernafasan, dan merekodkan kehadiran supaya dijejaki, sekiranya perlu.

Garis panduan itu juga mencadangkan butiran pengunjung diambil secara dalam talian dan hanya bagi tujuan rujukan pihak berkuasa kesihatan.

Ia juga mencadangkan semua pengunjung dan peserta mencuci tangan sebelum masuk ke ruang berkenaan, selain mengenakan pelitup muka pada sepanjang masa.

Garis panduan tersebut juga menyarankan semua acara yang melibatkan penyertaan jumlah peserta yang ramai ditangguhkan dahulu buat masa ini.

Pihak penganjur juga dinasihatkan supaya tidak menyediakan makan dan minum bagi mengelak perhimpunan ramai, walaupun minuman botol boleh dibenarkan.

Garis panduan itu juga mencadangkan tatacara penjagaan jarak terutama di ruang yang tertutup.

“Saya harap maklumat ini bermanfaat untuk penganjur seni dan budaya menyediakan pelan mereka,” kata Yeoh, sambil menyeru badan seni dan budaya mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terlibat.

Seni dan budaya adalah antara sektor yang teruk terjejas sejak kerajaan menguatkuasakan PKP lebih dua bulan lalu bagi membendung penularan Covid-19. – 25 Mei, 2020.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen