Bekas presiden Majlis Peguam nafi kata keputusan mahkamah dapat dipengaruhi


Alfian Z.M. Tahir

Bekas presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee berkata, ini adalah satu fitnah jenayah yang dibuat terhadap beliau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun 2021.

BEKAS presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menafikan beliau sudah mengirim beberapa pesanan kepada pelanggan asing yang menyatakan keputusan mahkamah dapat dipengaruhi.

Lim yang juga peguam kanan berkata beliau sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

“Ini adalah satu fitnah yang dibuat terhadap saya. Saya sudah membuat laporan polis mengenai pesanan teks palsu itu dan saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

“Mesej teks palsu ini adalah berhubung dengan masalah tertangguh di mahkamah dan yang masih dalam proses pendakwaan dikirim oleh pihak ketiga baru-baru ini.”

“Saya tidak pernah membuat penyataan seperti itu dalam mesej teks yang dinyatakan dan saya tidak mengenali pihak yang didakwa mengirim pesanan teks tersebut,” kata Lim.

Awal minggu ini, Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Wan Yusoff dilaporkan sebagai berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap seorang peguam kanan yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang memburukkan badan kehakiman itu.

Katanya, laporan polis dibuat oleh pegawai khas kepada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat terhadap peguam berkenaan pada 7 Jun lalu.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 504 undang-undang yang sama kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Sementara itu, Lim berkata syarikat yang disebut dalam laporan polis itu bukan lagi pelanggannya sejak beliau meninggalkan bekas firmanya pada Jun 2020.

“Saya tidak terlibat dalam sebarang tuduhan kenyataan dan rayuan yang melibatkan syarikat itu. Saya tidak pernah berhubung lagi atau terlibat dengan syarikat itu selama setahun,” tegasnya. – 20 Jun, 2021.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen