Badan peguam mahu skim upah bagi latihan dalam kamar


Hailey Chung Wee Kye

Presiden Badan Peguam Salim Bashir mahu pelajar diberikan elaun yang munasabah ketika menjalani latihan dalam kamar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2020.

BADAN Peguam mahu membuat perubahan bagi membolehkan pelajar mendapat bayaran munasabah ketika menjalani tempoh latihan dalam kamar, kata presidennya Salim Bashir.

Presidennya berkata pada masa ini tiada syarat untuk mewajibkan pelajar diberikan imbuhan di bawah Akta Profesion Undang-Undang.

Ini menyebabkan eksploitasi pelajar, yang tidak diklasifikasikan sebagai pekerja di bawah Akta Pekerjaan, kerana mereka boleh dibayar di bawah gaji minimum atau elaun dipotong secara drastik semasa krisis.

Namun katanya cadangan itu perlu diteliti kerana firma mungkin enggan menerima pelajar kerana syarat minimum elaun, dan ini dapat mengurangkan peluang mereka.

“Ia bukanlah satu kongkongan dan idea bayaran elaun minimum ini perlu diteliti dari pelbagai faktor, termasuk impak kewangan perniagaan dan kemampuan kebanyakan firma guaman untuk bertahan berikutan pandemik.

“Kita perlu berhati-hati dan mengelak daripada membuat keputusan yang popular,” katanya.

Latihan dalam kamar adalah latihan wajib selama sembilan bulan bagi pelajar undang-undang untuk memasuki profesion perundangan.

Objektif latihan ini untuk memberi peluang kepada pelajar mengenali lebih dekat tugas peguam bela dan peguam cara sebelum memulakan profesion, dan ia dijalankan di bawah pengawasan peguam yang berpengalaman. – 27 Disember, 2020.

Berita penuh di sini. 
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen