Salim Bashir dipilih Presiden Badan Peguam 


Bede Hong

Presiden Badan Peguam Malaysia yang baharu, Salim Bashir berharap untuk mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan baharu hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2020.

SALIM Bashir dipilih sebagai Presiden Badan Peguam Malaysia yang baharu pada sesi pemilihan yang berlangsung dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) hari ini.

Salim yang merupakan bekas setiausaha badan itu, menggantikan Abdul Fareed Abdul Gafoor yang meletak jawatan selepas setahun berkhidmat sebagai presiden.

“Kita berharap untuk mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan baharu hari ini,” kata Salim pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat secara tertutup itu di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

Pelantikan lain menyaksikan Surindar Singh memegang jawatan timbalan presiden,  A.G. Kalidas sebagai setiausaha dan tugas bendahari disandang oleh Mohamad Ezri Abdul Wahab.

Ekoran krisis Covid-19, hanya 87 ahli Badan Peguam hadir ke mesyuarat itu yang mula bersidang pada pukul 12.15 selepas gagal mencapai jumlah korum kira-kira sejam sebelumnya.

AGM itu hanya diadakan selama sejam selepas semua 38 ahli majlis dilantik.

“Banyak perkara perlu dilakukan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan saya menggesa kerajaan Malaysia untuk mentadbir negara ini mengikut undang-undang, mengekalkan dasar-dasar yang berhemat yang memberi manfaat kepada rakyat,” kata Salim.

“Dan walaupun pandemik global yang kita hadapi, kita mendesak kerajaan untuk memberi tumpuan untuk membawa ekonomi negara kembali ke landasan yang betul, menghapuskan undang-undang yang menindas seperti Sosma, Akta Hasutan dan undang-undang yang bertentangan dengan keadilan.

“Kami juga menyeru kepada kerajaan untuk menggubal undang-undang yang mencukupi untuk melindungi golongan yang lemah seperti wanita, kanak-kanak, orang asli dan orang tanpa negara.”

Salim juga menggesa kerajaan untuk meneruskan usaha kerajaan terdahulu bagi mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC).

Salim juga membangkitkan usaha bagi memperbaharui Akta Profesion Undang-Undang (LPA) 1976.

“Kita menggesa Menteri Undang-Undang (Takiyuddin Hassan) untuk membentangkan usul LPA yang baharu pada sidang Parlimen akan datang.”

Salim juga menggesa kerajaan untuk meminda Perlembagaan bagi memisahkan Pejabat Peguam Negara daripada pendakwa raya awam. – 14 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen