250 orang peguam KL jalani ujian Covid-19


250 orang ahli Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur menjalani ujian Covid-19 selepas seorang peguam yang hadir mesyuarat agung tahunan minggu lepas diuji positif penyakit itu.

Pengerusi jawatankuasa Harleen Kaur memberitahu The Malaysian Insight yang ujian itu dibuat sebagai langkah pencegahan selepas AGM pada 27 Februari lalu.

“Bila diketahui salah seorang ahli dijangkiti, kami mula berhubungan dengan Jabatan Kesihatan untuk mengikut protokol (ujian) sewajarnya.

“Jadi semua peguam yang hadir AGM akan dipanggil untuk diuji dan mereka perlu menjalani kuarantin sendiri ( di rumah) sehingga 12 Mac,” katanya.

Tambahnya, peguam terlibat sudah mula menjalani ujian sejak Sabtu lalu dan ia akan berterusan sehingga hari ini.

Semalam, Malaysia mengumumkan 99 orang dilaporkan positif Covid-19 setakat ini sejak wabak itu mula meledak di Wuhan, daerah Hubei, China pada Disember tahun lepas.

Daripada 99 kes itu, 24 pesakit sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Wujud peningkatan membimbangkan jumlah jangkitan minggu lepas dengan enam kes dilaporkan berlaku semalam sahaja.

Virus itu sudah menjangkiti lebih 110,000 orang di lebih 100 buah negara seluruh dunia dan sudah mengorbankan lebih 3,800 orang. – 9 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen