Arahan batal sidang Jawi sekat kebebasan bersuara, kata Badan Peguam


Presiden Badan Peguam Malaysia Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata polis tidak sepatutnya mendapatan perintah mahkamah dan sebaliknya berperanan sebagai penguatkuasa undang-undang yang memastikan keselamatan orang awam sepanjang persidangan Dong Jiao Zong berlangsung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2019.

TINDAKAN polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang persidangan Jawi anjuran pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiao Zong menyekat kebebasan bersuara, kata Badan Peguam Malaysia.

Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata polis tidak sepatutnya mendapatkan perintah mahkamah tetapi sebaliknya berperanan sebagai penguatkuasa undang-undang yang memastikan keselamatan orang awam sepanjang persidangan berlangsung.

“Badan Peguam berpandangan laporan baru-baru ini mengenai perintah mahkamah ‘menghalang bagi membincangkan pelaksanaan modul Jawi di sekolah vernakular’ sebagai sekatan kepada kebebasan bersuara seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Tindakan tersebut tidak masuk akal dan bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan,” kata Fareed dalam satu kenyataan hari ini.

Badan Peguam juga berkata menggunakan alasan keselamatan awam bagi mendapatkan perintah mahkamah tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Badan Peguam berpandangan bahawa polis sepatutnya memohon perintah mahkamah tetapi mengawal keadaan seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Ketika kita menuju ke arah membuka ruang demokrasi dalam dekad baharu ini, kekebebasan asas ini perlu dipelihara,” katanya.

Setiap rakyat hendaklah diberi ruang untuk menyuarakan keluhan mereka, dan kerajaan seharusnya memastikan penganjuran mana-mana acara untuk rakyat mengemukakan pandangan mereka berjalan dengan lancar dan aman.

Persidangan bagi membincangkan pengajaran Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular sepatutnya diadakan di Kajang pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, polis mendapat perintah mahkamah bagi acara tersebut dibatalkan susulan mendapat bantahan dari beberapa pertubuhan Melayu. – 31 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen