Badan Peguam kecam tindakan sekat media buat liputan


Presiden Abdul Fareed Abdul Ghafoor berkata walaupun diakui wujud budi bicara dalam proses keadilan tetapi kepentingan awam perlu sentiasa diutamakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2020.

BADAN Peguam meluahkan kebimbangan ke atas laporan menyebut media dilarang membuat liputan perbicaraan kes pemalsuan dokumen berkaitan dadah melibatkan seorang pegawai polis selepas pihak pendakwaan memohon sekatan media.

Presiden Abdul Fareed Abdul Ghafoor berkata walaupun diakui wujud budi bicara dalam proses keadilan dan keselamatan awam terutamanya untuk perlindungan kumpulan orang tertindas atau maklumat sensitif, kepentingan awam perlu sentiasa diutamakan.

“Dilaporkan, mereka yang tiada kaitan dengan kes itu diarah keluar mahkamah selepas permohonan dibuat TPR, atas alasan ‘pertuduhan yang akan dibaca terhadap pegawai (tertuduh) adalah sensitif dan tidak wajar dilapor media’.”

“Badan Peguam Malaysia mengiktiraf wujud budi bicara demi keadilan. (Tetapi) Pengecualian tidak boleh dibuat atas alasan yang goyah, seperti sensitiviti pertuduhan tertentu, seperti dimohon TPR dalam kes ini.

“TPR dalam melaksanakan kuasa pendakwaan awam, memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan kebebasan media, melindungi hak asasi rakyat untuk tahu serta menjunjung undang-undang.

“Kedaulatan undang-undang menuntut keadilan tanpa pengecualian, dan seseorang perlu patuh kepada proses undang-undang ini, tanpa mengira jawatan atau kedudukannya. Berkhidmat untuk kepentingan rakyat perlu sentiasa jadi keutamaan tertinggi,” kata Fareed dalam satu kenyataan, hari ini.

Dilaporkan pada Jumaat Mahkamah Majistret Shah Alam melarang wartawan membuat liputan kes melibatkan seorang pegawai polis tidak dinamakan yang sebelum ini dituduh menahan lelaki muda di Sungai Buloh untuk memeras ugut keluarga mereka.

Menurut portal Free Malaysia Today, sebelum perbicaraan berlangsung, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Syazwanie Marizan berkata pertuduhan yang akan dibacakan adalah sensitif dan tidak wajar dilaporkan media.

Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli kemudian mengarahkan semua orang yang tiada kaitan dengan kes meninggalkan kamar mahkamah, sebelum meneruskan perbicaraan kes.

Media kemudian dimaklumkan oleh seorang lagi TPR yang kes itu ditangguh kepada Mac tetapi tiada tarikh ditetapkan.

Beliau juga berkata tertuduh tidak lagi diwakili peguam dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000. – 3 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen