Jangan patah semangat, kata peguam negara selepas Tommy Thomas kritik pegawai undang-undang


The Malaysian Insight

Peguam Negara Idrus Harun menyeru semua anggota perkhidmatan untuk mengekalkan prestasi kerja yang cemerlang dan terus memacu Jabatan Peguam Negara ke arah kejayaan.– Gambar Facebook, 4 Februari, 2021.

PEGUAM Negara Idrus Harun menyeru warga perkhidmatan kehakiman dan perundangan untuk terus kekal bersemangat dan memberi bakti dengan profesionalisme yang tinggi, di tengah-tengah kritikan terhadap mereka oleh bekas peguam negara Tommy Thomas.

Katanya, tulisan Thomas dalam memoirnya My Story: Justice in Wilderness itu menghina mereka tetapi ia jangan sampai merendahkan semangat mereka.

“Saya amat berbangga dengan kebolehan, kemahiran, komitmen dan dedikasi pegawai-pegawai saya yang telah menunjukkan prestasi dan pencapaian yang cemerlang dalam menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh negara pada masa kini yang amat kompleks dan kritikal.

“Saya menyeru (semua anggota perkhidmatan) untuk mengekalkan prestasi kerja yang cemerlang dan terus memacu Jabatan Peguam Negara ke arah kejayaan seiring dengan aspirasi ‘Bertekad Menegakkan Keadilan’,” katanya dalam satu pekeliling bertarikh hari ini, yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

“Bertekad Menegakkan Keadilan” adalah slogan Jabatan Peguam Negara.

Menurut Idrus, berdasarkan pengalamannya 35 tahun dalam perkhidmatan, beliau tidak ragu akan kebolehan dan komitmen mereka, malah bangga apabila ada dalam kalangan mereka yang menang kes berprofil tinggi pada minggu ini.

Idrus yang pernah memegang jawatan sebagai peguam cara sebelum dilantik Hakim Mahkamah Rayuan pada 2014 memberi jaminan memoir Thomas tidak akan menjejaskan pandangan peribadinya terhadap mereka.

“Saya tidak terpengaruh dengan pemikiran yang dangkal daripada pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami tentang institusi perkhidmatan awam, terutamanya Jabatan Peguam Negara dan fungsi Peguam Negara,” tambahnya.

Semalam Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (Jalsoa) menyifatkan memoir Thomas hanya mendedahkan pemikirannya yang dangkal.

Dalam memoirnya, Thomas antara lain menulis pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara tidak berpengalaman untuk mengendalikan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, sementara pegawai yang kanan katanya lebih selesa mengendalikan tugas pentadbiran dan bukan ke mahkamah.

Menurut Idrus, kandungan memoir Thomas menimbulkan tanggapan negatif orang luar terhadap Jabatan Peguam Negara.

“Ia secara langsung memberi kesan kepada moral dan semangat pegawai undang-undang,” katanya.

Idrus dilantik peguam negara pada 6 Mac 2020 menggantikan Thomas yang letak jawatan seminggu sebelumnya selepas pentadbiran Pakatan Harapan runtuh. 

Thomas menyandang jawatan itu antara Jun 2018 hingga akhir Februari 2020 selepas Pakatan Harapan jadi kerajaan setelah menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Memoir Thomas yang merakamkan pengalamannya lebih kurang dua bulan sebagai peguam negara masuk pasaran minggu lalu.

Memoir setebal 573 halaman itu mencetuskan kontroversi selepas pelbagai pihak yang disentuh oleh Thomas membantah pendedahan beliau. Antaranya, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menulis penjelasan panjang lebar serta Najib Razak yang memulakan prosiding untuk menyaman Thomas.

Bekas peguam cara negara III Mohamad Hanafiah Zakaria kelmarin membuat laporan polis meminta Thomas disiasat atas jenayah fitnah terhadap dirinya dan Jabatan Peguam Negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Fadzil Ahmat semalam mengesahkan akan memanggil bekas peguam negara untuk siasatan.

Selain ahli politik dan peguam kanan kerajaan, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun, yang sekarang Speaker Dewan Rakyat, juga menafikan pendedahan Thomas mengenai isu reformasi pilihan raya yang konon tidak beliau persetujui. – 4 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen