Tommy Thomas disiasat kerana fitnah, kata polis


Bekas peguam negara Tommy Thomas akan dipanggil pihak polis untuk dirakam kenyataan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2021.

POLIS menyiasat bekas peguam negara Tommy Thomas atas jenayah fitnah berhubung memoirnya My Story: Justice in the Wilderness yang terbit minggu ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Fadzil Ahmat berkata pihaknya membuka siasatan terhadap Thomas susulan laporan yang dibuat oleh bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara terhadapnya semalam.

“Kita akan panggil (Thomas) secepat mungkin untuk rakam percakapan beliau,” katanya kepada wartawan.

Semalam, bekas peguam cara negara III Mohamad Hanafiah Zakaria membuat laporan polis mendakwa Thomas memfitnah dirinya dan pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara, yang dituduhnya malas dan tidak cekap menjalankan tugas.

Beliau meminta polis menyiasat Thomas mengikut Seksyen 499 Kanun Kesiksaan atas jenayah fitnah terhadap dirinya dan jabatan itu.

Hanafiah, 60, yang bersara daripada perkhidmatan awam tahun lalu membuat laporan itu di Balai Polis Cyberjaya malam tadi.

Laporan polis itu merujuk tulisan Thomas mengenai penglibatan Hanafiah dalam penyediaan kes pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung jenayah melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Dalam bukunya, Thomas antara lain menulis kononnya beliau tidak yakin Hanafiah dan seorang lagi pendakwa raya kanan Manoj Kurup mampu mengendalikan pendakwaan kes itu yang kompleks.

Jelas Hanafiah, Thomas bukan sahaja menfitnah dirinya tetapi juga pegawai di Jabatan Peguam Negara serta menghina reputasi dan nama baik jabatan itu.

Dalam laporan polisnya, Hanafiah berkata Thomas tidak pernah memberitahunya hal-hal yang ditulis dalam bukunya itu sekarang.

“Hakikatnya Thomas hanya mencari alasan untuk melantik peguam-peguam yang juga merupakan kawan beliau,” katanya.

Thomas kemudian melantik peguam kanan V Sithambaram sebagai timbalan pendakwa raya ad hoc untuk mengendalikan kes SRC International terhadap Najib.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai mensabitkan Najib atas tujuh tuduhan jenayah bersabit dana RM42 juta dari bekas anak syarikat 1MDB itu.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu tuduhan salah guna kuasa. Beliau juga dihukum penjara 10 tahun atas tiga kesalahan pecah amanah dan 10 tahun lagi untuk tiga tuduhan pengubahan wang haram. Hukuman itu ditangguhkan sementara rayuan Najib didengar.

Rayuannya itu sepatutnya didengar selama 15 hari bermula 15 Februari ini namun kini akan ditetapkan tarikh baharu susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) membendung Covid-19.

Ini adalah proses tindakan undang-undang yang kedua bersabit buku Thomas, yang edisi pertamanya dilaporkan sudah habis terjual.

Semalam, Najib juga melalui peguamnya mengeluarkan surat tuntutan meminta Thomas meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa berbaur fitnah dalam buku yang sama, berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Beberapa pihak juga membantah dan mencemuh memoir itu, termasuk Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun yang menafikan pendedahan Thomas mengenai isu reformasi pilihan raya semasa beliau mengetuai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – 3 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen