Azhar Harun selar dakwaan dalam memoir Tommy Thomas


Tommy dalam bukunya mendakwa Azhar adalah antara mereka yang menentang RUU penghapusan klausa yang akan membolehkan orang ramai mencabar keputusan SPR semasa pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2021.

BEKAS peguam negara, Tommy Thomas tidak sepatutnya menyalahkan orang lain di atas kegagalannya meminda undang-undang pilihan raya bagi membolehkan orang ramai mencabar keputusan pengerusi SPR semasa pilihan raya, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu memberikan respons beliau tersebut bagi membantah dakwaan yang dibuat oleh Tommy dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness” bahawa Azhar, yang bertugas sebagai pengerusi SPR di bawah kerajaan sebelum ini, telah menentang usahakan untuk meminda undang-undang bagi membenarkan orang ramai mencabar keputusan pilihan raya.

“Dia memutihkan semua itu untuk mengatakan bahawa saya menentang pentadbiran yang baik. Saya cuba memberitahunya bahawa anda tidak boleh menghapuskan undang-undang tersebut kerana ia akan menyukarkan pelaksanaan pilihan raya.

“Perlu ada jalan penyelesaian terlebih dahulu sebelum Anda buat,” kata Azhar kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi hari ini.

Tommy dalam bukunya mendakwa Azhar adalah antara mereka yang menentang RUU penghapusan klausa yang akan membolehkan orang ramai mencabar keputusan SPR semasa pilihan raya. 

“Saya benar-benar terkejut ketika Art Harun pertahankan pandangan SPR, pandangan yang dia juga pegang, bahawa banyak klausa bantahan dalam undang-undang SPR sangat diperlukan,” tulis Tommy dalam bukunya.

Tommy turut berkata jika dia tidak dapat meyakinkan rakan peguamnya, apakah peluang beliau untuk meyakinkan pihak-pihak seperti Kementerian Dalam Negeri dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Sekiranya saya tidak dapat meyakinkan Azhar untuk menyokong akses ke mahkamah berhubung keputusan SPR, apa harapan yang saya ada dengan Kementerian Dalam Negeri,” tulis Tommy.

Azhar bagaimanapun berkata, Tommy telah gagal untuk meyakinkan pihak berkepentingan, sedangkan beliau hanya memberikan maklum balas secara jujur sebagai pengerusi SPR pada masa itu.

“Dia menyalahkan saya kerana tidak meneruskan agenda klausa bantahan. Anda peguam negara, sepatutnya andalah yang seharusnya dapatkan keyakinan daripada pihak yang berkenaan.

“Berapa banyak pertemuan yang telah anda lakukan sebelumnya? Saya diarahkan untuk mengisi soal selidik untuk menyatakan pandangan saya, ”katanya lagi.

Azhar turut menegaskan bahawa beliau tidak menentang RUU itu secara sepihak dan ia dijelaskan selepas berbincang dengan sekretariat SPR selain berunding dengan peguam terkemuka Ambiga Sreenevasan.

“Saya membincangkannya dengan sekretariat saya. Saya juga berhubung dengan dengan Ambiga dan Chin Huat,” kata Azhar merujuk ahli sains politik Wong Chin Huat.

Klausa bantahan adalah peruntukan di bawah Seksyen 9A Akta Pilihan Raya, yang melarang daftar pemilih yang telah diperakui untuk dicabar di mahkamah. – 1 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen