Bekas pendakwa raya kanan buat laporan polis terhadap Tommy Thomas


Mohamad Hanafiah Zakaria mendakwa difitnah oleh bekas peguam negara Tommy Thomas dalam memoir terbaharunya. – Gambar agc.gov.my, 3 Februari, 2021.

BEKAS peguam cara negara III Mohamad Hanafiah Zakaria membuat laporan polis mendakwa beliau difitnah oleh Tommy Thomas berhubung pendedahan bekas peguam negara itu dalam memoirnya “My Story: Justice in the Wilderness” yang terbit minggu lalu.

Hanafiah merujuk apa yang ditulis oleh Thomas mengenai penglibatannya dalam penyediaan kes pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung jenayah melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Katanya, apa yang ditulis oleh Thomas dalam buku itu memberikan gambaran kononnya beliau seorang yang malas dan tidak mampu menjalankan kes pendakwaan tersebut.

“Penulisan Thomas dalam buku beliau ini adalah tidak benar sama sekali dan memburukkan imej saya sebagai seorang timbalan pendakwa raya yang telah berkhidmat selama 33 tahun pada ketika itu.

“(Penulisan Thomas) seolah saya adalah seorang timbalan pendakwa raya yang malas dan tidak berupaya untuk menjalankan kes pendakwaan tersebut,” katanya dalam laporan polis yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Hanafiah membuat laporan itu di Balai Polis Cyberjaya malam tadi.

Dalam laporannya Hanafiah meminta Thomas disiasat kerana memfitnah dirinya serta pegawai di Jabatan Peguam Negara serta menghina reputasi dan nama baik jabatan itu.

Ini adalah proses tindakan undang-undang yang kedua bersabit buku Thomas, yang edisi pertamanya dilaporkan habis terjual.

Semalam, Najib juga melalui peguamnya mengeluarkan surat tuntutan meminta Thomas meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa berbaur fitnah dalam buku yang sama, berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Hanafiah, 60, bersara daripada perkhidmatan awam tahun lalu. 

Sebelum bersara beliau adalah pegawai penyelidik kanan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Bangi, selepas ditukarkan dari jawatannya sebagai peguam cara kanan III oleh Thomas pada Ogos 2019.

Dalam bukunya, Thomas antara lain menulis kononnya beliau tidak yakin Hanafiah dan seorang lagi pendakwa raya kanan Manoj Kurup mampu mengendalikan pendakwaan kes yang kompleks terhadap Najib.

Mereka lebih selesa mengendalikan kerja-kerja pejabatnya, dakwanya.

Thomas juga berkata oleh sebab kes itu melibatkan bekas perdana menteri, beliau mengharapkan prestasi pasukan pendakwaan yang bertaraf dunia. 

Malangnya, kata Thomas, beliau tidak jumpa seorang pun pegawai di Jabatan Peguam Negara yang mampu mengendalikan kes itu.

Dalam laporan polisnya, Hanafiah berkata Thomas tidak pernah memberitahunya hal-hal yang ditulis dalam bukunya itu sekarang.

“Hakikatnya Thomas hanya mencari alasan untuk melantik peguam-peguam yang juga merupakan kawan beliau,” katanya.

Thomas kemudian melantikan peguam kanan V Sithambaram sebagai timbalan pendakwa raya ad hoc untuk mengendalikan kes SRC International terhadap Najib.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai mensabitkan Najib atas tujuh tuduhan jenayah bersabit dana RM42 juta dari bekas anak syarikat 1MDB itu.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu tuduhan salah guna kuasa. Beliau juga dihukum penjara 10 tahun atas tiga kesalahan pecah amanah dan 10 tahun lagi untuk tiga tuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, yang bagaimanapun ditangguhkan sementara rayuan Najib didengar.

Rayuannya itu sepatutnya didengar selama 15 hari bermula 15 Februari ini namun kini akan ditetapkan tarikh baharu susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) membendung Covid-19. – 3 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen