Tommy Thomas dedah pemikiran dangkalnya dalam memoir, kata pegawai undang-undang


Bekas peguam negara Tommy Thomas hanya dedah pemikirannya yang dangkal melalui memoirnya, kata Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2021.

BEKAS peguam negara Tommy Thomas hanya mendedahkan pemikirannya yang dangkal melalui memoirnya My Story: Justice in the Wilderness yang terbit minggu lalu, kata Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (Jalsoa).

Persatuan itu dalam satu kenyataan berpendapat apa yang ditulis oleh Thomas mengenai pegawai di Jabatan Peguam Negara adalah kegagalannya sendiri untuk menerajui jabatan itu.

Thomas menjadi peguam negara antara Jun 2018 hingga Februari 2020, dilantik selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14. Thomas letak jawatan selepas pentadbiran itu runtuh susulan percaturan politik pada hujung Februari tahun lalu.

“Pandangan Tan Sri Tommy Thomas amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya.

“Apa-apa jua perasaan tidak puas hati beliau semasa berurusan dengan pegawai undang-udang tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tatapan umum.

“Persepsi tersebut adalah ciptaan Tan Sri Tommy Thomas sendiri atas kegagalannya dalam menerajui Jabatan Peguam Negara serta memahami pentadbiran perkhidmatan Awam,” kata persatuan itu dalam kenyataannya hari ini.

Semalam, bekas peguam cara negara III Mohamad Hanafiah Zakaria membuat laporan polis mendakwa Thomas memfitnah dirinya dan pegawai di Jabatan Peguam Negara, yang dituduhnya malas dan tidak cekap menjalankan tugas.

Beliau meminta polis menyiasat Thomas mengikut Seksyen 499 Kanun Kesiksaan atas jenayah fitnah terhadap dirinya dan jabatan itu.

Menurut Jalsoa, setelah jadi peguam negara Thomas sepatutnya menjaga kehormatan dan nama baik jawatan serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Kata persatuan itu, Thomas tersalah tanggap apabila mendakwa pegawai di Jabatan Peguam Negara hanya tunggu gaji bulan dan pencen.

“Kenyataan ini bersifat jahat malah menghina pegawai undang-undang secara keseluruhannya,” kata Jalsoa yang mengaku amat terkilan dan terjejas dengan tuduhan Thomas.

Persatuan itu mengingatkan Thomas bahawa sebagai peguam negara beliau juga adalah ketua perkhidmatan kerpada pegawai undang-undang dalam skim perkhidmatan kehakiman dan perundangan.

Pegawai itu antaranya termasuk majistret dan hakim sesyen, pendaftar mahkamah, serta penasihat undang-undang di jabatan kerajaan dan kementerian.

Tegas Jalsoa, semua pegawai undang-undang menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka tanpa mengira siapa peguam negara atau kerajaan yang memerintah.

“Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malahan dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditekankan di dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja pegawai undang-undang,” kata kenyataan itu.

Memoir Thomas, yang kini edisi pertamanya habis terjual, turut mengundang bantahan dan cemuhan daripada beberapa pihak lain yang disentuh dalam buku itu.

Antaranya bekas perdana menteri Najib Razak yang memulakan prosiding untuk tindakan saman di mahkamah semalam, serta Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun yang menafikan pendedahan Thomas. – 3 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen