Aktiviti, perbelanjaan J-Kom perlu didedah kepada umum, kata badan pemikir


Perbelanjaan dan aktiviti Jabatan Komunikasi (J-Kom) perlu didedah kepada umum bagi memastikan ia tidak digunakan untuk tujuan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2020

PARLIMEN perlu mengawasi perbelanjaan dan aktiviti unit komunikasi baharu kerajaan, Jabatan Komunikasi (J-Kom) bagi memastikan ia tidak digunakan untuk tujuan politik, kata sebuah badan pemikir hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Tricia Yeoh berkata adalah penting unuk Kementerian Kementerian memberitahu kepada umum bagaimana J-Kom menggunakan peruntukan RM40.5 juta di bawah Belanjawan 2021.

“Saya mendesak Kementerian Kewangan untuk memberikan audit yang telus dan didedahkan kepada umum berkenaan semua dana yang dibelanjakan oleh J-Kom.

“Parlimen harus meneliti aktiviti dan perbelanjaan J-Kom sepanjang tahun bagi memastikan peruntukan tidak disalahgunakan untuk tujuan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

J-Kom yang diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada awalnya diperuntukkan RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021.

Bagaimanapun selepas mendapat bantahan yang diajukan oleh ahli Parlimen pembangkang, kerajaan mengurangkan peruntukan tersebut kepada RM40.5 juta yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Yeoh bagaimanapun berkata peruntukan RM40.5 juta adalah jumlah yang besar berbanding pada 2017, Jasa hanya diperuntukkan sebanyak RM22.8 juta sahaja.

Jabatan itu ditutup oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika berkuasa pada Mei 2018. PN bagaimanapun memutuskan untuk menghidupkan semula jabatan berkenaan dengan nama baharu.

“Kami kesal dengan keputusan kerajaan untuk mengekalkan dan memperuntukkan J-Kom dengan jumlah besar.

“Kerajaan sudah mempunyai beberapa agensi yang menjalankan fungsi J-Kom seperti Jabatan Penerangan Malaysia (JPEN), Radio Televisyen Malaysia (RTM), bahagian komunikasi korporat di setiap kementerian serta unit Komunikasi Bersepadu Kerajaan (MyGovUC) Mampu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan seolah-olah lupa akan keutamaan mereka seperti yang disebut Menteri Kewangan dalam ucapan belanjawan bahawa fokus utama Belanjawan 2021 adalah untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara. – 11 Disember, 2020



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen