Anwar persoal peruntukan Belanjawan 2021 untuk JPM


Chan Kok Leong Zaim Ibrahim

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim turut mempersoalkan pertambahan peruntukan RM181 juta dalam Belanjawan 2021 untuk kakitangan kontrak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

KETUA pembangkang Anwar Ibrahim memulakan perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa dengan mempertikaikan peruntukan yang dicadangkan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Kenapa ada pertambahan 10.7% atau RM482 juta untuk Jabatan Perdana Menteri pada masa ini,” tanya ahli Parlimen Port Dickson di Dewan Rakyat.

Anwar turut membangkitkan pertindihan fungsi antara Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

“Pejabat Perdana Menteri ada 32 menteri dan 38 timbalan dengan penasihat ekonomi dan media. Ia juga ada duta khas ke China dan Timur Tengah.

“Apa peranan Kementerian Luar kalau kita perlu lebih banyak duta khas?” tanyanya.

Beliau turut mempersoalkan pertambahan peruntukan RM108.4 juta untuk kakitangan kontrak.

“Apa kena mengena pertambahan RM108.4 juta ini dengan penderitaan rakyat Malaysia dan barisan hadapan yang memerangi pandemik Covid-19?”

Anwar dan Pakatan Harapan minggu lalu dikecam kerana membiarkan Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar selepas tidak cukup ahli parlimen pembangkang yang menyokong usul untuk undian belah bahagi ketika pengundian selepas bacaan kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada Khamis lepas.

Hanya 13 ahli Parlimen bangun terutamanya ahli Parlimen dari Amanah dan Pejuang ketika ada usul untuk undian belah bahagi. Usul undi belah bahagi memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang berkata mereka mendapat arahan daripada Anwar, yang dikeluarkan pada saat akhir, untuk membiarkan cadangan belanjawan kerajaan diluluskan.

Anwar kemudian menafikan beliau sedia berundur sekiranya kerajaan Muhyiddin Yassin tidak boleh dijatuhkan dalam masa tujuh hari.

Belanjawan 2021 menyediakan peruntukan tambahan perbelanjaan mengurus sebanyak RM482 juta untuk  JPM, yang mengembalikan jabatan itu ke zaman kemuncak kerajaan Barisan Nasional sebelum ia ditumbangkan pada 2018.

Sesi hari pertama perbahasan dan penggulungan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa dimulakan dengan JPM dan diikuti Kementerian Kewangan.

Sesi ini dijadual berlangsung 10 hari sehingga 15 Disember. – 30 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen