JPM dapat RM4.47 bilion untuk 2021, menyamai zaman BN


The Malaysian Insight

Peruntukan perbelanjaan mengurus untuk JPM bagi tahun depan sebanyak RM4.472 bilion, iaitu RM482 juta lebih tinggi berbanding zaman kerajaaan PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2020.

PERUNTUKAN perbelanjaan mengurus sebanyak RM4.472 bilion untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi tahun depan, seperti dalam Belanjawan 2021, mengembalikan jabatan itu ke zaman kemuncak kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ia ditumbangkan pada 2018.

Peruntukan itu RM482 juta lebih tinggi berbanding RM3.09 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam Belanjawan 2020. Ia juga RM906 juta lebih daripada peruntukan pada 2019, menurut nota dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 yang dikeluarkan semalam.

Jabatan Perdana Menteri semasa Najib Razak jadi perdana menteri diperuntukkan RM4.6 bilion pada 2018 dan RM4.9 bilion pada 2017.

Daripada tambahan RM482 juta itu, RM89 juta diperuntukkan untuk emolumen atau gaji, RM75 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, dan RM307 juga untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap.

Walaupun Jabatan Perdana Menteri mempunyai lebih 30 agensi termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta Jabatan Perangkaan, sebahagian besar peningkatan emolumen iaitu RM33 juta diperuntukkan untuk pengurusan.

Keseluruhan emolumen yang diperuntukkan untuk pengurusan di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 2021 ialah RM470 juta untuk 7,444 perjawatan. Pada tahun ini, jabatan sama mempunyai lebih dua kakitangan.

Emolumen untuk pentadbiran am bertambah RM27 juta kepada RM135 juta walaupun jumlah kakitangannya kekal 1,444 orang.

Bahagian yang juga tinggi ialah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang yang mempunyai 1,806 perjawatan, dengan pertambahan peruntukan RM27 juta.

Jabatan Perdana Menteri juga menerima RM6.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Antara peruntukan besar bagi pembangunan yang disenarai dalam nota Kementerian Kewangan ialah “Projek Khas” yang diperuntukkan RM1 bilion. Selain anggaran kos RM5 bilion, tiada sebarang butiran mengenai projek tersebut dalam nota berkenaan.

Dalam pada itu, RM813 juta diperuntukkan untuk Projek Perkongsian Kerajaan Swasta (Public Private Partnership atau PPP) serta RM731 juta untuk pendigitalan perkhidmatan kerajaan.

Belanjawan 2021 juga memperuntukkan RM3 juta sebagai peruntukan langsung untuk program pembasmian kemiskinan di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ia juga mencatatkan peruntukan RM60 juta secara pinjaman untuk tujuan itu. Pada 2019, perbelanjaan sebenarnya ialah RM69 juta.

Jabatan Perdana Menteri diperuntukkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM6.6 bilion dalam Belanjawan 2020 dan RM3.4 bilion dalam Belanjawan 2019. – 7 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen