Peruntukan Belanjawan 2021 JPM lulus di peringkat jawatankuasa 


Chan Kok Leong Zaim Ibrahim

105 ahli Parlimen undi menyokong manakala 95 tidak bersetuju manakala 20 ahli Parlimen tidak hadir ketika undi belah bahagian dijalankan di Dewan Rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

PERUNTUKAN bagi Jabatan Perdana Menteri diluluskan di peringkat jawatankuasa menerusi undian belah bahagian.

Ia diluluskan selepas 105 ahli Parlimen undi menyokong manakala 95 tidak bersetuju manakala 20 ahli Parlimen tidak hadir.

Antara yang tidak hadir di pihak kerajaan adalah Najib Razak (BN-Pekan), Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) dan Jeffrey Kitingan (Star-Keningau).

Manakala ahli Parlimen yang tidak hadir di pihak pembangkang adalah Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong), Masir Kujat (PSB-Sri Aman), Awang Husaini Sahari (PKR-Putatan), Michael Teo (PKR-Miri), Christina Liew (PKR-Tawau).

Lapan ahli Parlimen Warisan turut tidak hadir.

Undi belah bahagian itu diadakan selepas diminta oleh ketua whip PKR Johari Abdul pada akhir perbahawan peringkat jawatankuasa.

Speaker Azhar Azizan Harun bersetuju dan membenarkan penangguhan selama 20 minit bagi membolehkan ahli Parlimen kedua-dua belah pihak masuk ke Dewan untuk mengundi.

Undian itu dibat selepas pembangkang Pakatan Harapan menerima kritikan selepas gagal membuat undian belah bahagian pada Khamis lalu.

Terdapat 220 ahli Parlimen daripada 222 di Dewan Rakyat selepas kematian Ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong dan dan Ahli Parlimen Gerik Hasbulkah Osman  sementara di atas kertas Perikatan Nasional mempunyai 112 ahli Parlimen berbanding 108 di kem pembangkang.

Terdahulu, ahli Parlimen membahaskan butiran peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri selama hampir 2 jam.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk penambahan 10.7% atau RM482 juta untuk Jabatan Perdana Menteri di tengah pandemik Covid-19, peruntukan lebih sedikit diberikan kepada beberapa negeri seperti Sarawak dan RM813 juta peruntukan untuk kerjasama awam swasta (PPP).

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim turut mempersoalkan keperluan untuk Kabinet lebih besar di bawah kerajaan Perikatan Nasional.

Ia turut dipersoalkan ahli Parlimen lain termasuk Khalid Samad (Shah Alam-PH) dan Teo Nie Ching (Kulai-PH).

“Adakah Kabinet diperluaskan untuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapatkan sokongan daripada ahli Parlimen untuk dirinya?” soal Khalid yang merupakan bekas menteri Wilayah Persekutuan dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas) Mohd Redzuan Md Yusof menafikan dan berkata ia perlu bagi memenuhi keperluan semasa.

“Kabinet ini tidak lebih besar daripada Kabinet Pakatan,” kata Mohd Redzuan.

Pada 2018, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melantik 28 menteri dan 27 timbalan.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dengan undian suara selepas pembangkang gagal mendapat sokongan 15 ahli Parlimen untuk undian belah bahagian.

Perbahasan peringkat jawatankuasa akan diadakan untuk 27 kementerian sehingga 15 Disember sebelum Dewan Rakyat memutuskan untuk meluluskan atau menolak Belanajwan 2021 pada bacaan kali ketiga.

Jawatankuasa ini akan meneruskan perbahasan peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Kewangan.– 30 November, 2020.
 
 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen