Belanjawan 2021 lulus peringkat dasar


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

BELANJAWAN 2021 diluluskan bagi peringkat dasar melalui undian suara di Dewan Rakyat selepas pihak pembangkang gagal memaksa undian dibuat secara belah bahagi.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak permohonan Mahfuz Omar (Pokok Sena-Pakatan Harapan) untuk undi belah bahagi selepas tidak cukup syarat iaitu disokong oleh sekurang-kurangnya 15 ahli parlimen. Hanya 13 ahli parlimen berdiri.

Mereka yang berdiri menyokong usul undian belah bahagi ialah semua empat ahli parlimen bebas dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diketuai Dr Mahathir Mohamad. Tiga lagi ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading)

Mereka disertai enam dari Amanah iaitu Khalid Samad (Shah Alam), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang), Mohd Hatta Ramli (Lumut), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Hasanuddin Yunus (Hulu Langat) dan Mahfuz.

Seorang ahli Parlimen DAP juga menyokong undi belah bahagi iaitu Mordi Bimol (Mas Gading), serta Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang-PKR) dan Baru Bian (Selangau-PSB)

“Lebih suara ahli-ahli Parlimen yang bersetuju, maka Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 diluluskan,” kata Azhar, di tengah keriuhan ahli Parlimen menyampuk di kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.

Azhar kemudian mengumumkan Belanjawan 2021 akan dibahas di peringkat jawatankuasa, iaitu bagi setiap kementerian, mulai minggu depan. Proses itu sekali lagi akan melibatkan undian anggota Dewan Rakyat.

Undian belah bahagi ialah apabila undi ahli parlimen dikira setiap satu, manakala undian suara dibuat berdasarkan suara yang lebih kuat didengar.

Kelulusan Belanjawan 2021 diumumkan oleh Azhar lebih kurang jam 3.27 petang.

Kelulusan ini akan membolehkan kerajaan membelanjakan peruntukan RM322.5 bilion, yang terbesar pernah dibentangkan di Dewan Rakyat, untuk keperluan negara.

Ini termasuk RM17 bilion yang diperuntukkan di bawah Tabung Covid-19.

Cadangan belanjawan ini adalah yang pertama bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih Putrajaya pada Mac lalu.

Semasa menggulung perbahasan, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan setuju untuk melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman bank kepada semua golongan B40 dan peniaga kecil.

Kerajaan juga setuju untuk meluaskan kelayakan mengeluarkan simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua pencarum tabung itu yang terjejas akibat Covid-19.

Ahli Parlimen Mukhriz Mahathir (Jerlun-Bebas) pada suatu ketika bangkit mencelah bertanya sama ada bantuan yang baru diumumkan pada hari ini melibatkan jumlah pindaan kepada cadangan belanjawan.

Tengku Zafrul berkata ia melibatkan pengurangan perbelanjaan pada peringkat jawatankuasa.

Katanya, antara perbelanjaan yang akan dikurangkan ialah cadangan RM85.5 juta yang diperuntukkan bagi penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Belanjawan 2021 dibentang oleh Tengku Zafrul di Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu.

Sepanjang perbahasan 10 hari sejak 9 November, pembangkang memberi bayangan akan menolak cadangan belanjawan kerajaan yang dianggap tidak betul-betul membantu untuk krisis Covid-19.

Barisan Nasional juga memberikan syarat untuk menyokong cadangan belanjawan itu.

Ahli Parlimen BN Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini menyeru ahli Parlimen supaya mengundi mengikut naluri dan bukannya mengikut kehendak parti.

Katanya, parti tidak berhak menentukan corak pengundian kerana wakil rakyat dipilih oleh pengundi di kawasan mereka.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, dua kosong susulan kematian wakil Batu Sapi dan Gerik, masing-masing penyokong pembangkang dan kerajaan.

Muhyiddin mempunyai sokongan 112 ahli Parlimen sementara pembangkang 108, termasuk ahli Parlimen bebas.

Ahli Parlimen Bung Moktar Radin (Kinabatangan-BN) yang sebelum ini dijangka tidak hadir kerana perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas hadir ke sidang DUN Sabah pada 16 November lalu, turut hadir. – 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen