BN sokong Belanjawan 2021 bersyarat, kata Najib


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Pengerusi BNBBC Najib Razak berkata BN tidak akan sokong Belanjawan 2021 jika kerajaan tidak memenuhi dua tuntutan dikemukakan sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2020.

BARISAN Nasional (BN) tidak akan menyokong Belanjawan 2021 jika kerajaan tidak memenuhi dua tuntutan yang sudah parti itu kemukakan dalam cadangannya sebelum ini, kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Najib Razak.

BN hanya akan menyokong Belanjawan 2021 sekiranya kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan mereka dalam Akaun 1 sebanyak RM10,000, kata bekas perdana menteri itu.

BN juga meminta kerajaan meluluskan moratorium bayaran balik pinjaman bank secara automatik sehingga Jun tahun depan, tambahnya.

“Sokongan saya dan rakan-rakan dalam BN tertakluk kepada dua perkara ini. Sokongan kita kepada bajet ini sokongan bersyarat,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Najib yang juga ahli Parlimen Pekan berkata demikian semasa menutup perbahasannya dengan menjawab pertanyaan Ahmad Maslan (Pontian-BN) yang bangun mencelah.

Ahmad, yang pernah menjadi timbalan menteri kewangan dalam kabinet Najib, bertanya apakah kerajaan wajar membuat pindaan terhadap Belanjawan 2021 yang dikemukakan pada masa negara berdepan cabaran yang luar biasa.

“Sebenarnya saya nak katakan bahawa bajet ini dibuat dalam masa yang luar biasa. Kalau kita nak pinda pun ia wajar dilakukan kerana ini keadaan yang luar biasa,” jawab Najib.

“Pendirian BN seperti yang disuarakan oleh Bagan Datuk (Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi), kita hendak pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 secara one off dan moratorium sehingga Jun 2021 diluluskan oleh kerajaan.”

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam.– Gambar Parlimen Malaysia, 10 November, 2020.

Semalam, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semasa membahaskan Belanjawan 2021 juga berkata pihak pembangkang sedia menolak cadangan kerajaan yang disifatkan tidak jelas dan mengelirukan.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentang pada Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan kebenaran pengeluaran RM500 sebulan dari Akaun 1 KWSP bagi tempoh 12 bulan, menjadikan jumlah penuhnya tidak lebih RM6,000.

Ini adalah tambahan RM6,000 kepada kebenaran pengeluaran di bawah skim i-Lestari dari Akaun 2 yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi pada hujung Mac lalu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyifatkan cadangan BN untuk pengeluaran simpanan dari Akaun 1 KWSP sukar untuk dilaksanakan dan harus jadi pilihan akhir.

Kerajaan Muhyiddin juga sebelum ini membenarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman bank secara automatik selama enam bulan antara April dan September. 

Bermula Oktober, penangguhan itu dibenarkan secara bersasar mengikut kelompok tertentu, terutamanya mereka yang hilang pekerjaan akibat penularan Covid-19.

Tangguh untuk semua

Sementara itu, Najib yang juga bekas menteri kewangan berkata, moratorium bayaran balik pinjaman bank perlu diperluaskan kepada semua peminjam kerana semua orang sekarang terbeban akibat Covid-19, terutama golongan berpendapatan menengah atau M40.

Kerajaan juga tiada sebab untuk tidak melanjutkan penangguhan itu ketika bank sebenarnya meraih untung besar, katanya.

“Kita mahu morotorium dipanjangkan secara pukal. Kalau PKPB (perintah kawalan pergerakan bersyarat) boleh dilanjutkan berkali- kali dan boleh jejaskan pendapatan rakyat, kenapa morotorium tak boleh dilanjutkan?

“Sedangkan bank masih meraih keuntungan besar, seperti disebut ahli Parlimen Port Dickson semalam,” merujuk kepada perbahasan Anwar.

Mengenai pengeluaran RM10,000 simpanan KWSP, Najib berkata kerajaan boleh meluluskannya kerana ia tidak melibatkan hutang kerajaan.

Katanya, wang yang dikeluarkan itu nanti akan menambah kitaran wang dalam ekonomi ketika perbelanjaan kerajaan terhad dan kehidupan rakyat amat terdesak.

“Ini yang saya maksudkan sebagai langkah berani dan luar biasa dalam keadaan luar biasa

“Wang yang dikeluarkan KWSP mampu dipulihkan kerajaan dalam masa setahun selepas krisis Covid-19 berlalu. Tidak ada siapa pun yang buat kenyataan wang KWSP tidak boleh dipulihkan pada masa akan datang,” katanya.

Perbahasan bersambung di Dewan Rakyat. – 10 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen