Kalau macam ini, pembangkang tolak Belanjawan 2021, kata Anwar


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Pembangkang hanya akan sokong sekiranya Belanjawan 2021 jelas untuk Covid-19 dan selepas kerajaan jelaskan beberapa isu yang kabur, kata Anwar Ibrahim.– Gambar Parlimen Malaysia, 9 November, 2020.

PEMBANGKANG tidak akan menyokong Belanjawan 2021 seperti yang dicadangkan oleh kerajaan kerana beberapa isu yang tidak jelas tentang unjuran pendapatan, peruntukan untuk Covid-19 dan amalan perakaunan yang tidak jujur, kata Anwar Ibrahim.

“Kami diminta untuk menyokong Belanjawan 2021 atas tanggapan bahawa ia adalah belanjawan Covid-19. Pada pendapat saya, kami hanya akan sokong sekiranya ia benar-benar belanjawan Covid-19.

“Dalam bentuknya sekarang, ada banyak persoalan tentang unjuran pendapatan, peruntukan untuk Covid-19 dan perakaunan yang tidak jujur,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar selaku ketua pembangkang membuka perbahasan atas Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada Jumaat lalu.

“Saya cadangkan menteri kewangan lihat isu-isu ini dan beri keutamaan pada Covid-19. 

“Kami telah ditekan dan didesak untuk menyokong rang undang-undang ini tetapi kami hanya akan buat begitu sekiranya ia belanjawan Covid-19,” kata Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan.

Kerajaan Muhyiddin yang mempunyai dukungan 113 anggota Dewan Rakyat berharap blok pembangkang akan menyokong belanjawan ini ketika ia tidak boleh lagi mengharapkan sepenuhnya sokongan daripada Barisan Nasional.

Belanjawan mengelirukan

Dalam ucapannya selama 90 minit, Anwar mengutarakan tiga hujah utama kenapa Belanjawan 2021 hanyalah “satu belanjawan biasa pada waktu yang luar biasa”.

“Malah, saya boleh katakan ini satu belanjawan yang mengelirukan,” katanya, yang juga bekas menteri kewangan antara 1991 dan 1998.

Anwar memberikan contoh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang berkata ia diberi peruntukan RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin Covid-19 namun angka itu tiada dalam anggaran perbelanjaan kerajaan.

Katanya, jumlah RM3 bilion itu lebih tinggi daripada peruntukan asal RM1.3 bilion.

“Tapi mana dia dalam belanjawan?” tanyanya.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu.– Gambar EPA, 9 November, 2020.

Belanja operasi atau belanja pembangunan?

Anwar juga mempersoalkan kerajaan kenapa ia memindahkan perbelanjaan operasi Kementerian Kesihatan sebagai perbelanjaan pembangunan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kelmarin menjelaskan pihaknya meletakkan RM4.29 bilion untuk bekalan perubatan serta bahan guna habis di bawah “Program Khusus” dalam Belanjawan 2021.

Katanya, jumlah itu termasuk Bekalan Perubatan Fasiliti Perubatan Kerajaan sebanyak RM2.89 bilion dan Konsesi Penswastaan Makmal Ubat sebanyak RM1.4 bilion.

“Inilah sebabnya mengapa jumlah peruntukan di bawah butiran 020000 (Perubatan) menunjukkan ‘pengurangan’ daripada RM14.2 bilion (2020) kepada RM11.3 bilion (2021),” kata Tengku Zafrul.

Ahli Parlimen pembangkang dan anggota profesional perubatan bagaimanapun mempersoalkan kewajaran langkah tersebut. 

“Adakah kerajaan cuba sorok perbelanjaan ini di bawah perolehan supaya ia boleh beli barang-barang ini melalui tender?

“Adakah akan buat secara rundingan terus atau akan ada proses tender yang telus?” tanya Anwar.

Lebih baik bagi petugas barisan hadapan

Anwar juga menarik perhatian kepada elaun tambahan untuk nelayan tetapi pada masa sama kerajaan memotong RM37.6 juta daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Siapa yang akan tolong nelayan membangunkan infrastruktur yang mereka perlukan?” tanyanya.

Jelas Anwar, keadaan sama juga berlaku dalam sektor pertanian apabila kerajaan mengumumkan tambahan elaun RM50 kepada penanam padi tetapi memotong RM50 juta subsidi padi.

Walaupun dengan potongan di sana dan sini, Anwar berkata kerajaan sebaliknya mahu menghidupkan semula unit propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dengan peruntukan lebih RM85 juta.

“Ia juga mencadangkan RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Negara yang diletakkan di bawah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin,” kata Anwar.

“Penggerak Komuniti ini tidak lebih hanyalah sayap politik yang diwujudkan di kementerian bagi tujuan politik. 

“Mungkin Tengku Zafrul tidak tahu kerana beliau bukan ahli politik. Tetapi beliau terpaksa jawab sekarang sebab beliau menteri kewangan,” tambahnya.

Menurut Anwar, peruntukan lebih RM90 juta untuk badan politik seperti Jasa dan Penggerak Komuniti sepatutnya disalurkan untuk petugas barisan hadapan Covid-19. – 9 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen