Bajet kesihatan kurang telus, kata ahli Parlimen DAP


Peruntukan untuk KKM meningkat kepada RM31.9 bilion daripada RM30.6 bilion dari Bajet 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2020.

AHLI Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii Lee Wuen mempersoalkan keperluan untuk mengklasifikasikan perincian perbelanjaan peruntukan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya tindakan mengklasifikasikan sesetengah perbelanjaan KKM di bawah program khusus hanya menyebabkan persoalan timbul tentang bagaimana duit tersebut digunakan.

“Tindakan ini kurang telus dan kita tidak tahu pengurangan atau pertambahan setiap jabatan di bawah KKM,” kata Yii.

Ahli Parlimen DAP itu berkata butiran ‘Program Khusus’ bukan idea yang baik dan beliau mempersoalkan jabatan mana yang akan mempunyai akses terhadap peruntukan RM31.9 bilion itu.

“Bagaimana setiap jabatan boleh mengakses peruntukan itu? Adakah mereka perlu memohon dan siapa yang akan membuat keputusan?

“Apa yang akan berlaku adalah ia akan menambah lagi kerenah birokrasi bagi keseluruhan proses, sekali gus menyebabkan kelewatan penyaluran dana jika berlaku perkara penting.”

Semalam Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjawab dakwaan bahawa kerajaan mengurangkan peruntukan kesihatan awam dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat.

Katanya peruntukan untuk KKM meningkat kepada RM31.9 bilion daripada RM30.6 bilion dari Bajet 2020.

Tengku Zafrul berkata di dalam Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan, jumlah bagi bekalan perubatan serta bahan guna habis sebanyak RM4.29 bilion diasingkan dan diperuntukkan di bawah butiran 080000 (Program Khusus).
 
“Ini termasuk Bekalan Perubatan Fasiliti Perubatan Kerajaan sebanyak RM2.89 bilion dan Konsesi Penswastaan Makmal Ubat sebanyak RM1.4 bilion.

“Inilah sebabnya mengapa jumlah peruntukan di bawah butiran 020000 (Perubatan) menunjukkan ‘pengurangan’ daripada RM14.2 bilion (2020) kepada RM11.3 bilion (2021).

“Butiran ini mengandungi peruntukan bagi pelbagai bidang kepakaran kesihatan termasuk nefrologi dan farmasi. Hakikat yang sebenar, tiada bidang kepakaran yang mengalami pengurangan peruntukan,” katanya. – 8 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen