Putrajaya digesa jelaskan pecahan peruntukan kesihatan dalam Belanjawan 2021


Kerajaan juga digesa jelaskan sama ada peningkatan dalam perbelanjaan pembangunan akan memperkukuhkan akses penjagaan kesihatan yang amat diperlukan di kawasan pedalaman, Sabah dan Sarawak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2020.

LEBIH ramai pakar kesihatan mempersoalkan keperluan untuk mengklasifikasikan semula perincian perbelanjaan tertentu bagi peruntukan untuk Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2021.

Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) berkata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz perlu menjelaskan lanjut mengenai pecahan perbelanjaan dan mengapa perbelanjaan bagi bekalan perubatan serta bahan guna habis (consumables) sebanyak RM4.29 bilion diletakkan di bawah kod 080000 (Program Khusus), juga mengapa perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan diletakkan di bawah kategori perbelanjaan pembangunan.

Selain itu, mengapa tiada pecahan mengikut bidang perubatan atau perkhidmatan, soal gabungan itu.

“Dalam kedua-dua kes, kerajaan perlu memberi butiran yang lebih jelas mengikut kategori, kerana ketelusan akan mengelak ketidakcekapan atau pembaziran.

“Kerajaan juga mesti menjelaskan sama ada peningkatan dalam perbelanjaan pembangunan akan memperkukuhkan akses penjagaan kesihatan yang amat diperlukan di kawasan pedalaman, Sabah dan Sarawak,” kata MHC dalam satu kenyataan.

Kenyataan MGC itu mengulangi kenyataan Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii semalam, yang berkata langkah Putrajaya itu tidak telus dan hanya akan mencetus persoalan bagaimana peruntukan akan digunakan.

“Tindakan ini kurang telus dan kita tidak tahu pengurangan atau pertambahan setiap jabatan di bawah KKM,” kata Yii.

Beliau juga berkata kategori Program Khusus hanya akan menambah lagi kerenah birokrasi bagi penyaluran dana lebih-lebih lagi ketika perlu menangani krisis kesihatan.

Zafrul menafikan kerajaan mengurangkan peruntukan kesihatan dalam Belanjawan 2021, sebaliknya lebih tinggi berbanding peruntukan bagi 2020.

MHC bagaimanapun berkata peningkatan peruntukan sebanyak 4.3% untuk KKM masih mengecewakan.

“Peningkatan ini tidak cukup semasa pandemik, dan kami dapati peruntukan ini tidak mencapai sasaran kami iaitu 4% daripada KDNK.

“Rawatan bagi penyakit bukan Covid-19 seperti penyakit tidak berjangkit (NCD), kesihatan mental dan rawatan pencegahan, termasuk sistem kesihatan awam memerlukan peruntukan besar,” kata MHC.  – 9 November, 2020. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen