Muhyiddin umum lanjutan moratorium pinjaman bank


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini umum penangguhan bayaran balik pinjaman bank khusus untuk golongan bersasar yang terjejas pendapatan mereka sejak penularan pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2020.

PUTRAJAYA melanjutkan lagi penangguhan bayaran balik pinjaman bank khusus untuk golongan bersasar yang terjejas pendapatan mereka sejak penularan pandemik Covid-19, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman itu dibuat hanya dua hari selepas pentadbirannya berkata moratorium enam bulan yang sepatutnya berakhir September ini menyebabkan sektor perbankan rugi sehingga RM6.4 bilion.

Muhyiddin berkata penangguhan itu dibuat selepas pihaknya mendengar rintihan rakyat dan berbincang dengan menteri kewangan dan Bank Negara.

“Jadi, pada hari ini saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional telah bersetuju untuk melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang lebih berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam pengumuman yang disiarkan melalui semua televisyen, petang ini.

Penangguhan itu dibenarkan bagi tempoh tiga bulan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan, katanya.

“Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing,” tambahnya.

Lanjutan enam bulan pula diberikan kepada mereka yang masih bekerja tetapi gaji terjejas atau berkurangan akibat pandemik Covid-19, kata Muhyiddin.

“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji. 

“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” katanya.

Moratorium bayaran balik pinjaman yang dibenarkan mulai 1 April lalu adalah antara bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan untuk meringan beban rakyat susulan PKP bagi membendung Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2020.

Menurut Muhyiddin, pihak bank juga telah memberi jaminan membantu semua peminjam yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Antara bantuan yang ditawarkan termasuk membayar faedah sahaja, memanjangkan tempoh pinjaman dengan mengurangkan bayaran balik bulanan, atau pelepasan lain sehingga keadaan kewangan peminjam stabil.

Pihak bank juga menawarkan penjadualan ansuran kepada peminjam sewa beli, kata Muhyiddin.

Semua tawaran itu, yang akan memberi manfaat kepada 3 juta individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), boleh dipohon melalui bank masing-masing mulai 7 Ogos ini, kata perdana menteri.

“Sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Moratorium bayaran balik pinjaman yang dibenarkan mulai 1 April lalu adalah antara bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan untuk meringan beban rakyat susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat kelmarin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata sektor perbankan kerugian RM6.4 bilion kesan penangguhan bayaran balik pinjaman.

“Bagi tempoh enam bulan moratorium yang diberikan secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM6.4 bilion yang bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 billion sama ada kepada rakyat atau peminjam.

“Demi memastikan rakyat terus terpelihara jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, kerajaan akan sentiasa memantau keadaan dan perkembangan semasa serta akan mengambil tindakan yang diperlukan seperti yang dibuat sebelum ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin. – 29 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen