Undi Belanjawan 2021 ikut naluri, bukan ikut parti, kata Ku Li


Mohd Farhan Darwis Kamles Kumar

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata parti tidak boleh tentukan corak mengundi di Dewan Rakyat kerana ia perlu berdasarkan kepada kehendak pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

PARTI politik tidak boleh menentukan corak pengundian di Dewan Rakyat kerana ahli Parlimen perlu mengundi berdasarkan kehendak pengundi di kawasan masing-masing, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata walaupun beliau adalah ahli Parlimen dari Umno, partinya tidak berhak menentukan corak pengundian kerana dirinya dipilih pengundi di kawasannya.

“Mereka (parti) mahu menentukan… (undian) ahli parti tidak harus ditentukan kerana seperti saya, dipilih oleh pengundi di Gua Musang.

“Saya bersama parti Umno tetapi di Parlimen saya tidak mewakili Umno, kebetulannya saya ahli Umno.

“Kadangkala Umno putuskan undian macam ini, macam itu. Saya tidak rasakan itu tindakan yang betul… itu bukan caranya demokrasi berparlimen,” kata Tengku Razaleigh.

Tengku Razaleigh mengulas Belanjawan 2021 yang dibentang pada 6 November lalu dan dijadual diundi pada 26 November ini.

Veteran Umno yang menganggotai Dewan Rakyat selama 11 penggal sejak 1974 berkata perkara itu juga bercanggah dengan sumpah yang mereka lafaz sebagai ahli Parlimen.

“Kami mengundi berdasarkan kehendak pengundi. Jika mereka kata putih kami pilih putih.

“Bagaimana kami tahu? Kita adakan pertemuan dengan pengundi,” kata pengerusi lembaga penasihat Umno itu lagi.

Ahli sains politik sebelum ini mengkritik kelemahan sistem semak dan imbang Parlimen Malaysia kerana keakuran wakil rakyat kepada garis pendirian yang diambil oleh parti masing-masing.

Mereka terikat kepada pendirian parti politik yang dikawal oleh ketua whip masing-masing.

Undian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat minggu depan amat penting kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN), ketika majoriti sokongannya tipis.

Beberapa ahli Parlimen juga menekan pentadbiran Muhyiddin dengan memberi bayangan sedia menolak Belanjawan 2021, yang dianggap lemah dan tidak memadai untuk melawan Covid-19.

Undian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat minggu depan amat penting kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan pentadbiran PN, ketika majoriti sokongannya tipis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini menyeru ahli Parlimen memberikan sokongan padu kepada Belanjawan 2021 bagi membolehkan kerajaan melaksanakan usaha membanteras pandemik Covid-19 dan menangani krisis ekonomi akibat wabak.

Titah nasihat Yang di-Pertuan Agong itu dibuat selepas baginda tidak memperkenankan permohonan Jemaah Menteri Muhyiddin untuk pengisytiharan darurat, yang akan menggantung Parlimen.

Kerajaan tiada duit untuk belanja

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata beliau tidak pasti sama ada akan menyokong atau menolak Belanjawan 2021.

Katanya, berdasarkan keadaan semasa kerajaan tiada dana yang cukup untuk melaksanakan Belanjawan 2021 yang mencadangkan perbelanjaan sehingga RM322.5 bilion.

“Kerajaan tidak ada duit, kita tidak boleh meminjam untuk membayar perbelanjaan seperti itu. Walaupun tidak ada duit, kerajaan kena merayu, meminjam atau mencuri,” katanya.

“Bukan mudah untuk merangka belanjawan dalam keadaan pandemik dan berhutang. Kerajaan jangkakan kutipan hasil tetapi sukar untuk dicapai.

“Namun pada masa sama, perlu melaksanakan belanjawan sekurang-kurangnya separuh untuk mereka yang berkhidmat untuk kerajaan.

“Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada kutipan hasil, kerana tiada hasil, orang tidak buat untung, industri kecil dan sederhana bankrap, ramai lagi yang akan jatuh muflis,” katanya.

Beberapa ahli Parlimen sebelum ini antaranya ketua pembangkang Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyebut kemungkinan beban hutang yang perlu ditanggung oleh negara untuk melaksanakan cadangan belanjawan kerajaan. – 18 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen