Peruntukan untuk Jasa akan dikurangkan, kata Zafrul


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November, dan antaranya ialah peruntukan besar untuk Jasa yang menerima bantahan banyak pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2020.

PERUNTUKAN RM85.5 juta yang dicadangkan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dalam Belanjawan 2021 akan dikurangkan, umum Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Usul mengurangkan peruntukan yang mencetuskan kontroversi itu akan dibuat pada peringkat jawatankuasa, katanya.

“Saya akan buat usul kurangkan peruntukan Jasa dalam peringkat jawatankuasa… kita akan umumkan,” katanya semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, petang ini.

Tengku Zafrul tidak menyatakan jumlah yang dikurangkan.

Peruntukan Jasa menjadi antara isu paling hangat yang dibangkitkan semasa perbahasan Belanjawan 2021, yang berlangsung sejak 9 November lalu.

Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah memberi jaminan peruntukan yang dicadangkan untuk Jasa akan dikurangkan, namun berkata jumlahnya sedang dibincang.

Saifuddin berkata Jasa bukan “mesin propaganda” kerajaan selagi jabatan itu berada di bawah tanggungjawabnya.

Beliau juga menjelaskan Jemaah Menteri setuju jabatan itu dijenamakan semula menjadi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), dengan fokus pada budaya ilmu, digital dan patriotisme. – 26 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen