DEWAN Rakyat meluluskan belanjawan untuk tiga lagi kementerian hari ini, menjadikan 11 daripada 27 kementerian yang peruntukannya diluluskan di peringkat jawatankuasa.
Antara yang diluluskan hari ini peruntukan RM1.2 bilion untuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), RM1.15 bilion untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan RM548 juta untuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Selain daripada pengurangan RM400 juta untuk MITI, dua kementerian lain menyaksikan kenaikan marginal dalam belanjawan operasi dan pembangunan tahunan mereka untuk tahun 2021.
Peruntukan Miti diluluskan selepas 110 ahli Parlimen kerajaan menyokong manakala 104 ahli Parlimen pembangkang yang menentang peruntukan itu.
Enam ahli Parlimen tidak hadir.
Pembangkang turut meminta undian belah bahagian dijalankan kerana tidak setuju dengan beberapa perbelanjaan untuk mesyuarat Majlis Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).
Pengurangan untuk Miti disebabkan oleh perbelanjaan untuk Apec 2020, yang telah dicatat dalam Belanjawan 2020.
Peruntukan bagi dua lagi kementerian diluluskan dengan undian suara.
Dewan Rakyat akan meneruskan perbahasan peringkat jawatankuasa atau belanjawan kementerian Isnin depan dengan Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. – 3 Disember, 2020.
Komen