Warga tani tetap miskin dengan RM1.4 bilion, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong Zaim Ibrahim Aminah Farid

Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad berkata peruntukan itu tidak mensasarkan kepada usaha menambah baik dasar pertanian sedia ada.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2020.

PERUNTUKAN disediakan dalam Belanjawan 2021 tidak mampu mengeluarkan untuk golongan petani dan nelayan daripada belenggu kemiskinan, kata Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad.

Beliau melihat peruntukan itu tidak mensasarkan kepada usaha menambah baik dasar pertanian sedia ada dan hanya menumpukan kepada subsidi.

“Saya dapati bahawa peruntukan untuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sudah ditambah dari RM500 juta kepada RM1.44 bilion.

“Tetapi bukan peruntukan yang bertambah sahaja yang diperlukan, pendekatan yang mengatasi kemiskinan pekebun dan nelayan amatlah penting diusahakan.

“... Setakat saya tahu kebun kecil masih kecil dan peruntukan hanya untuk subsidi. Maka akan miskinlah pekebun kita selama-lamanya,” katanya di Dewan Rakyat.

Selain itu, pengumuman bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan itu juga tidak meliputi usaha khusus untuk memodenkan teknologi kepada petani kecil.

“Tidak ada usaha spesifik untuk mempromosi kaedah pertanian moden di kalangan pekebun kecil.

“Pekebun kecil jika dibiar untuk teruskan cara lama, tidak akan dapat memajukan diri mereka. Selama-lamanya mereka akan bergantung kepada subsidi oleh kerajaan,” tambah beliau.

Jelasnya, skala kebun yang kecil pada masa ini menyukarkan golongan petani untuk maju.

“Dua pertiga dari keluaran getah umpamanya datang dari estet besar, sementara hanya satu pertiga datang dari ladang kecil.

“Daripada data ini kita sepatutnya sudah lama sedar hanya ladang besar sahaja yang akan beri keuntungan.

“Selagi kita bergantung kepada ladang kecil selama itulah pekebun akan miskin dan bergantung kepada subsidi,” kata bekas perdana menteri itu.

Oleh itu, beliau mencadangkan, kebun kecil itu digabungkan untuk menjadi sebuah estet yang besar berkeluasan 1,000 ekar atau lebih.

Dengan cara itu, pekebun dapat menerima syer mengikut saiz tanah sumbangan mereka kepada ladang besar.

Jelasnya, kaedah menangkap ikan seperti yang dilakukan nelayan juga perlu diubah kerana ia akan meneruskan kehidupan mereka sebagai golongan miskin. – 2 Disember, 2020.

MENYUSUL 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen