Kerajaan kaji model baharu untuk zoo, kata menteri


Zaim Ibrahim

Zoo Negara berdepan masalah kewangan dan sukar menampung kos operasi hampir RM1 juta sebulan apabila PKPB dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2020.

KERAJAAN akan mengkaji model zoo baharu untuk menjamin masa depan pusat pertunjukan haiwan tersebut, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Annuar Nasarah.

Ia bagi menangani masalah kemerosotan kewangan dan kesukaran menampung kos operasi yang berjumlah hampir RM1 juta sebulan pada masa ini.

Jelasnya, pada masa ini kerajaan hanya mengeluarkan lesen pemilikan zoo tetapi tidak memiliki tempat pertunjukan haiwan terbabit.

“Kerajaan sedang mengkaji model-model baru untuk zoo.

“Seperti yang semua sedia maklum kerajaan tidak mempunyai pemilikan terhadap zoo kecuali kita bertanggungjawab terhadap mengeluarkan lesen,” kata beliau di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Shahidan Kassim (BN-Arau) yang ingin mengetahui masa depan Zoo Negara yang terjejas kerana Covid-19.

Shamsul turut berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan Zoo Negara esok bagi mengetahui isu-isu yang akan dibangkitkan oleh badan itu.

Bulan lalu, Pengarah Zoologi, Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli berkata tabung kecemasan zoo itu hanya mampu bertahan kira-kira tiga bulan sahaja.

Jelas beliau, Zoo Negara menghadapi kemerosotan kewangan dan sukar menampung kos operasi hampir RM1 juta sebulan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Walaupun kerajaan pernah menyalurkan bantuan sebanyak RM1.3 juta pada April lalu, dana itu hanya mampu menampung kos insurans panda bernilai hampir RM700,000.

Jumlah selebihnya digunakan untuk kos perubatan dan makanan haiwan, katanya. – 2 Disember, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen