Pertubuhan agama persoal penubuhan panel baharu 'awasi' kuil, gereja


Noel Achariam

Badan keagamaan mahu pihak berkuasa berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan merobohkan struktur berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2020. 

RUNDINGAN mengenai kesahihan tempat ibadat bukan Islam mesti dibincangkan secara terperinci sebelum tindakan diambil untuk merobohkan struktur berkenaan, kata sebuah kumpulan agama.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight adalah wajar badan keagamaan diberi nasihat mengenai perkara berkaitan dengan rumah ibadat mereka.

Majis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) dan Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) menyeru agar pihak berkuasa lebih tekun.

Presiden MCCBCHST R.S Mohan Shah berkata pihak berkuasa mesti berunding dengan mereka sebelum mengambil tindakan terhadap tempat ibadat bukan Islam.

“Tolong jangan pergi dan kata kuil ini sah dan kuil itu tidak sah.

“Semuanya dapat diselesaikan dengan perbincangan, bukan perobohan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mohan mengulas berkenaan cadangan Menteri Perpaduan Nasional Halimah Mohamed Sadique untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa dengan penyertaan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti kuil dan gereja yang tidak sah.

Halimah berkata beliau sudah bercakap dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk membentuk sebuah jawatankuasa di semua majlis daerah (untuk memeriksa) tempat ibadat bukan Islam.

Beliau berkata jawatankuasa ini akan diwakili pegawai dari kementeriannya dan mengenal pasti semua rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar dan tidak berdaftar.

Mohan berkata Kementerian Perpaduan mesti mengadakan perbincangan dengan badan-badan agama mengenai status rumah ibadat.

“Beberapa kuil sudah dibina bertahun-tahun yang lalu dan ada yang baru dibina baru-baru ini. Tetapi apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan? Mengapa mereka tidak memberi amaran kepada yang baru dibina baru-baru ini?

“90% tempat keagamaan diselia oleh kami (MCCBCHST). Jadi mereka mesti berunding dengan kami,” katanya.

Mohan juga mempersoalkan langkah penubuhan jawatankuasa apabila sudah ada jawatankuasa agama di setiap negeri.

“Mengapa perlunya jawatankuasa baru dan siapa yang akan mengatasinya? Menempatkan orang yang tidak dikenali di sana tidak akan menyelesaikan masalah. Kami mesti terlibat dalam jawatankuasa itu,” katanya.

Minggu lalu Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah yang dipercayai berusia lebih 50 tahun.

Berikutan kejadian itu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan pengkritiknya yang merupakan pemimpin MIC dan DAP “mabuk dan tidak bertanggungjawab”.

Setiausaha Agung CCM Pendeta Hermen Shastri berkata jawatankuasa baru yang dicadangkan ini telah mengejutkan badan-badan agama kerana kementerian mengambil tugas ini dan bukan pihak berkuasa negeri.

“Ini boleh menimbulkan keprihatinan dalam kalangan masyarakat agama kerana ia merupakan penyimpangan radikal dan praktis dari biasa di mana sebuah kementerian yang bukan badan agama menjalankan tugas ini,” katanya.

Beliau berkata adalah lebih baik negeri atau pihak berkuasa yang mengendali rumah-rumah ibadat bukan Islam.

“Bincangkan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan. Harus ada rundingan dan kepekaan maksimum ketika berdepan dengan rumah ibadat bukan Islam.

Hermen berkata tidak semua komuniti agama mempunyai struktur kebangsaan.

“Sebuah kuil di Sabah mungkin mempunyai pemimpin agama yang berurusan secara langsung dengan pihak berkuasa negeri.

“Mereka tidak perlu berhubungan dengan panel yang dibentuk oleh kementerian yang tidak berhubungan dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata istilah yang dirujuk, sah dan tidak sah sangat bermasalah.

“Di bawah peruntukan kebebasan beragama dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 11) ia memberikan hak kepada komuniti agama untuk percaya, bergaul dan mengendalikan urusan mereka sendiri.

“Jadi di mana kategori ‘haram” masuk dalam hujah ini.Ini persoalan penggunaan tanah, ia selalu menjadi masalah negara bukan soal persekutuan,” katanya. – 10 Disember, 2020. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen