Gereja KL, Selangor tangguh misa kerana Covid-19


Penangguhan perhimpunan misa dibuat bagi mengurangkan risiko penularan selepas pertambahan mendadak kes terutama di Lembah Klang, yang juga menunjukkan ada berlaku jangkitan rawak. – Gambar EPA, 6 Oktober, 2020.

SEMUA gereja Katolik di Kuala Lumpur dan Selangor menangguhkan perhimpunan misa berkuat kuasa esok susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19, kata Uskup Kuala Lumpur.

“Penggantungan ini akan disemak semula sebelum 20 Oktober dan semua gereja akan dimaklumkan sekiranya ada sebarang perubahan,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Paderi Michael Chua.

Kenyataan dikeluarkan atas arahan Ketua Uskup Metropolitan Kuala Lumpur Julian Leow.

Arahan itu dikeluarkan bagi mengurangkan risiko penularan selepas pertambahan mendadak kes jangkitan baharu setiap hari terutama di Lembah Klang, yang juga menunjukkan ada jangkitan yang berlaku secara rawak, kata kenyataan itu.

Selain menggantung kegiatan misa, ahli kariah gereja dinasihatkan supaya tidak mengunjungi gereja lain serta menangguhkan dahulu semua upacara keagamaan yang lain.

Ini termasuk upacara perkahwinan, sekiranya boleh, kata kenyataan itu, atau menghadkan majlis untuk ahli keluarga atau tidak lebih 20 hadirin.

Had sama terpakai untuk upacara pengebumian.

Menurut Chua, misa secara dalam talian akan diteruskan.

Gereja di Pahang, Negeri Sembilan, dan Terengganu bagaimanapun akan meneruskan kegiatan misa namun jemaah yang hadir dikehendaki mendaftar terlebih dahulu. Ia juga tidak dibuka kepada mereka yang datang dari luar daerah.

Malaysia mencatatkan peningkatan tiga angka dalam tempoh seminggu lalu, dengan kemuncaknya 432 kes semalam – yang tertinggi dalam sehari sejak pandemik ini dikesan di negara ini pada Januari 2020.

Kebanyakan kes dikesan di Kedah dan Sabah, dan ada ada trend peningkatan yang ketara di Selangor dan Kuala Lumpur.

Selangor misalnya mengesan 93 kes dalam tempoh seminggu antara 26 September hingga 2 Oktober, berbanding 17 kes dalam tempoh sama pada minggu sebelumnya. – 6 Oktober, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen