Siapa 'ahli gusti' hero penyelamat kita?


Hadri Shah

TIGA belas tahun silam, aktor Jack Black menghiburkan dunia melalui filem drama komedinya, Nacho Libre.

Berlatarbelakangkan daerah Oaxaca, Mexico, Black mendukung watak seorang tukang masak merangkap biarawan gereja bernama Ignacio. Selain itu, tugas menjaga anak-anak yatim yang dibela gereja terletak di bahunya. Autentiknya peribadi pemuda ini ialah, di sebalik jubah lusuh, dia merupakan peminat sukan gusti. Bahkan  bercita-cita untuk menjadi seorang ‘luchador’ (penggusti) terbilang sejak dari kecil.

Untuk rekod, Nacho Libre sebenarnya difilemkan berdasarkan kisah seorang paderi bernama Fray Tormenta yang berjuang di dalam gelanggang sebagai penggusti untuk membiayai rumah anak yatim yang diuruskannya.

Terinspirasi dengan perjuangan Fray, Mike White langsung menulis jalan cerita Nacho Libre. Sementara Jared Hess dan Jack Black bergandingan sebagai pengarah dan produser filem.

Entah mengapa sebabnya, semalam aku mengkhatam semula Nacho Libre untuk kali yang Tuhan saja tahu ke berapa. Ternyata filem ini tidak pernah membosankan. Secara peribadi, Nacho Libre ialah sebuah filem satira komedi kegemaran aku.

Jared Hess menggarap filem ini dengan penuh kesederhanaan. Tiada persoalan kompleks diapungkan di sepanjang jalan cerita. Setiap babaknya melucukan. Komedi Black cukup ‘mengarut’ dan absurd. Baris-baris skripnya diisi dengan falsafah paling mendalam.

Begitulah peranan filem komedi, barangkali. Menghiburkan dan dalam masa yang sama memansuhkan sebentar kelelahan hidup yang dijalani penonton. Namun, seperkara yang mesti disepakati, Nacho Libre bukan filem komedi ‘kaleng-kaleng’ – ia sarat dengan sindiran dan mesej.

Menurut para pengkritik filem, fungsi sesebuah filem ialah untuk menemukan penonton dengan naratif kenyataan hidup sebenar. Biar apa jua genrenya, sama ada seram, sci-fi, fiksyen atau komedi, filem punya potensi menyebarkan mesej, propaganda dan menumbuh inspirasi.

Nacho Libre punya nilai sebegitu. Ia menayang segala hal berkaitan kehidupan di panggung; dari struktur kelas sosial, konservatisme beragama, nilai sebuah persahabatan, semangat tidak mudah putus asa, rasa tanggungjawab, dan cinta.

Tetapi yang lebih berat tema dipersembahkan Nacho Libre ialah perjuangan membahagiakan jiwa-jiwa lain berbanding diri sendiri.

Kerana gereja menganggap gusti sebagai bahagian-bahagian perilaku dosa, Ignacio melampias nafsu gustinya secara sembunyi-sembunyi. Dengan mengenakan topeng dan menggunakan nama samaran ‘Nacho’, hampir setiap malam dia bersama rakan karibnya Steven bergocoh di dalam gelanggang.

Pada awalnya, bergusti menjadi medan menguji potensi diri. Seperti baris dialog Ignacio saat merekrut Steven berpasangan dengannya di gelanggang: “Tidakkah kau mahu mencicip sedikit kejayaan, tengok apa rasanya?” 

Ignacio, seperti pemuda kebiasaan lain turut menginginkan mencumbui nikmat kemegahan, penghormatan dan sanjungan.

Lucunya, yang dicicipnya ialah kekalahan di setiap perlawanan.

Walaupun tewas, Ignacio dan Steven tetap menerima sejumlah wang setiap kali tamat perlawanan. Dengan wang itu, Ignacio melukis garis-garis senyuman di wajah anak-anak yatim di gereja. Dia menggunakannya untuk menyediakan makanan-makanan sedap buat anak-anak yang selama ini bosan dengan hidangan teruk gereja.

Perjuangan Ignacio membahagiakan anak-anak semakin jitu tatkala pada suatu hari dia berbual dengan biarawati Encarnacion. Tanya Nacho kepada Encarnacion, apakah berlawan adalah satu dosa? Encarcion menjawab: “Tidak. Jika kau berlawan untuk sesuatu kemuliaan, untuk memperjuangkan nasib seseorang, maka Tuhan akan memuliakanmu.”

Bertolak dari titik inilah, Ignacio berlutut berdoa memohon keberkatan dan kemenangan sebelum dia bertemu dengan tujuh lawan paling gah di daerah Oaxaca sebelum bertemu dengan penggusti paling kuat di pentas final. 

Ignacio mempertaruhkan jiwanya di gelanggang paling kejam sebagai tukaran untuk memenangi 10 ribu peso. Dengan wang itu dia mahu membeli sebuah bas membawa anak-anak ke ‘field trip’ – sesuatu yang tak pernah dinikmati mereka.

Dalam dunia yang kaya dengan kecelaruan, sifat pentingkan diri adalah fitrah kebiasaan. Mungkin kerana susunan hidupnya begitu, kita seringkali mendahulukan perut sendiri dari manusia lain yang lebih memerlukan. Sifat berkira, tidak peka dan ketidakpedulian adalah syaitan yang merasuk tubuh badan umat manusia.

Jika ada sekalipun pengorbanan yang kita lakukan, sebolehnya kita mahu ia dihebohkan. Biar satu dunia tahu. Biar sejuta umat berzikir memuji usaha kita tujuh hari tujuh malam. Hari ini setiap ‘pengorbanan’ mesti diperdagangkan. Bukankah, begitu?

Semua orang mahu diiktiraf sebagai hero penyelamat manusia. Nikmat ditabal sebagai pejuang umat adalah nikmat dunia paling enak. Ahli politik tentu sekali mahu dikenang sebagai pejuang rakyat. Aktivis mahu dikenali sebagai manusia yang  lebih separuh hidupnya berkhidmat. Dan kita semua mahukan puji-pujian dan ‘likes’ di media sosial atas derma tak seberapa kita lemparkan ke dalam mangkuk kecil milik si miskin.

Tetapi soalannya, siapa mahu menjadi seperti seorang penggusti dalam Nacho Libre – manusia tulus ikhlas mengorbankan diri demi kebahagiaan orang lain tanpa mendambakan kemasyhuran? – 12 November, 2019.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen