Kementerian Pendidikan digesa 'bina jambatan bukan tembok'


Timothy Achariam

Isu baca doa Kristian di SM (P) Methodist Pulau Pinang adalah isu pendidikan terbaru yang timbul yang boleh memecahbelahkan fabrik sosial negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2019.

KEMENTERIAN Pendidikan perlu menarik balik amarannya terhadap Sekolah Perempuan Methodist di Pulau Pinang, yang kini menjadi kontroversi ucapan yang mengajak perpaduan di kalangan pelajarnya, kata Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM).

Setiausaha Agung CCM, Hermen Shastri memberitahu The Malaysian Insight, kementerian perlu memainkan peranan membina “jambatan” bukannya “tembok” dan meneliti fakta-fakta sepenuhnya sebelum mengancam untuk mengambil tindakan tegas.

“Menteri pendidikan, bersama-sama dengan Kabinet, perlu menarik balik amaran mereka dan bertindak sebagai pembina jambatan dan bukan pembina tembok,” kata Hermen kepada The Malaysian Insight.

“Sebelum kementerian mengancam tindakan tegas terhadap sekolah yang mengadakan bacaan doa, mereka harus memberitahu orang awam fakta-fakta mengenai apa yang sebenarnya berlaku di MGS Pulau Pinang.”

Shastri mengulas mengenai arahan Ketua Pengarah Pendidikan Dr Amin Senin mengenai kontroversi yang berlaku pada Jumaat lalu selepas seorang lelaki tempatan di Pulau Pinang membuat laporan polis mendakwa bahawa doa Kristian telah dibacakan di sekolah tersebut, sedangkan ia memiliki majoriti pelajar muslim.

Lelaki yang membuat laporan polis tersebut, Muhsin Abdul Latheef, juga mendakwa bahawa doa itu merupakan percubaan sekolah terbabit untuk “mengkristiankan” pelajarnya.

Amin pada hari Ahad mengeluarkan kenyataan, memberi amaran kepada sekolah melanggar protokol sekolah yang digariskan kementerian, dan tindakan tatatertib akan dipertimbangkan terhadap sekolah tersebut.

Pendidikan perlu jadi penghubung kaum di Malaysia dan bukannya tembok yang memisahkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2019.

Shastri mempersoalkan hak kerajaan untuk memutuskan sama ada doa agama selain daripada Islam harus dibenarkan.

“Sejak bila kerajaan diberi hak untuk memutuskan doa agama mana yang rasmi atau tidak?

“Walaupun Islam diberikan tempat rasmi, ia tidak semestinya menghalang agama-agama lain daripada membaca doa-doanya di majlis rasmi apabila ia adalah peristiwa yang berkaitan dengan institusi agama mereka,” katanya.

“Doa oleh kumpulan agama yang berlainan pada majlis-majlis khas, menunjukkan keterbukaan dan toleransi rakyat Malaysia bagi membentuk sebuah negara yang harmoni,”

“Namun kini ia dikorbankan kerana pemikiran sempit beberapa orang yang mahu mengambil kesempatan politik.

“Biarlah rakyat berdoa demi kesejahteraan bangsa dan masyarakat. Penting sangatkah siapa yang membaca doa itu?” Tambahnya.

Doa tersebut sebenarnya merupakan ucapan mengenai perpaduan yang diberikan oleh ahli lembaga beragama Kristian MGS, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy. – 3 Oktober, 2019. 

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen