Gereja Sabah desak siasat wakil rakyat PAS kata Injil ‘terpesong’


The Malaysian Insight

Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika berbahas di Dewan Rakyat minggu lalu berkata berkata tiada agama yang membenarkan penganutnya minum alkohol. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2020.

MAJLIS Gereja Sabah (SCC) berkata siasatan atas kesalahan menghasut perlu dilakukan terhadap wakil rakyat PAS Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh atas kenyataannya berkenaan Injil dan masyarakat Kristian.

“Kerajaan perlu memulakan siasatan terhadap kenyataan menghasut dibuat oleh ahli Parlimen Pasir Puteh yang menyinggung perasaan kaum lain dan masyarakat Kristian,” kata Presiden SCC Dr James Wong dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Zawawi yang dibuat pada sesi Dewan Rakyat munggu lalu, boleh mencetuskan perasaan negatif dalam kalangan masyarakat berbilang agama di Malaysia, kata majlis itu.

Wong juga menggesa kerajaan Perikatan Nasional untuk menghukum Zawawi kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak sopan dan tidak sensitif, yang menyinggung penganut Kristian.

SCC juga mendesak Zawawi mengeluarkan permohonan maaf terhadap masyarakat Kristian di Malaysia dan menarik balik kenyataannya.

SCC ialah organisasi agama yang turut mengkritik Zawawi berhubung kenyataannya dalam sesi bahas berkenaan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 Akta Pengangkutan Jalan, berkata Kitab Injib sudah terpesong atau diubah.

Majlis Gereja Sarawak meminta wakil rakyat itu menarik balik kenyataannya dan minta maaf, berkata Zawawi melanggar Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kebebasan beragama.

Zawawi minggu lalu dalam ucapannya semasa sidang Dewan Rakyat untuk meningkatkan hukuman denda memandu semasa mabuk, berkata tiada agama yang membenarkan penganutnya minum alkohol.

Oleh itu, katanya keputusan kerajaan mengetatkan undang-undang bagi menangani isu pemandu mabuk tidak sepatutnya menjadi isu sensitif bagi agama lain.

“Tapi saya belajar dalam perbandingan agama, saya kira tidak ada agama sebenarnya membenarkan penganutnya minum arak.

“Tidak ada agama, Buddha, Hindu agama lain tak benarkan, isu ini tidak jadi satu sensitif bagi agama lain,” kata Zawawi.

Beliau dicelah Ahli Parlimen Beruas Ngeh Khoo Ham yang berkata kenyataan itu tidak tepat kerana ada agama bukan Islam benarkan minum alkohol asalkan tidak memabukkan.

Ahli Parlimen DAP memberi contoh penggunaan wine dalam upacara “Lord Supper” bagi agama Kristian.

Zawawi bagaimanapun menolak hujah Ngeh dengan berkata bagi kandungan kitab Injil bagi agama Kristian terpesong kerana alkohol memang tidak dibenarkan.

Katanya, beliau sebagai pakar perbandingan agama yang mengkaji agama lain mendapatisemua agama memang mengaramkan pengambilan arak biarpun sedikit. – 1 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen