Menteri ingkar SOP Covid-19 beri tanggapan buruk kepada golongan belia


Aminah Farid Elill Easwaran

Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan didakwa langgar tempoh kuarantin wajib 14 hari selepas hadir sidang DUN Sabah pada 12 November lalu. – Gambar Facebook, 27 November, 2020.

RAKYAT Malaysia didenda dan dipenjara sedangkan menteri dibebaskan daripada sebarang kesalahan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 kerajaan, kata golongan beliau dan kumpulan masyarakat sivil.

“Rakyat konsisten mematuhi SOP tetapi kami yang perlu menerima akibatnya,” kata Nur Aainaa Asri dari Taiping.

“Seluruh rakyat Malaysia perlu dilayan dengan adil. Mereka tidak boleh setakat ditegur hanya kerana mereka menteri,” katanya yang berusia 25 tahun dan bekerja sebagai eksekutif media.

Lancelot Theseira pula menyatakan rasa kesal apabila rakyat biasa tidak dapat menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19 sementara menteri terus melanggar SOP tanpa sebarang penjelasan kepada orang ramai.

“Ini menunjukkan mereka bukan mahu berkhidmat untuk rakyat – apa yang mereka pedulikan adalah kuasa dan kedudukan. Ini tidak sesuai ketika wabak berlaku,” kata pengurus media sosial berusia 25 tahun ini.

Terbaru, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan didakwa melanggar tempoh kuarantin wajib 14 hari apabila hadir ke Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau muncul di Parlimen pada 24 November selepas menjalani kuarantin pada hari ke-12 dan bukannya 14 hari seperti disyaratkan terhadap wakil rakyat dari Sabah itu.

Kehadirannya mendatangkan kekecohan di Dewan Rakyat walaupun ada penjelasan beliau sudah dibebaskan lebih awal dengan izin daripada klinik kesihatan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hanya mendedahkan perkara itu pada 25 November bahawa mereka yang berada di bawah kuarantin boleh memohon pembebasan awal dan dengan penilaian risiko ketat.

Bagaimanapun Bersih 2.0 berkata, perubahan SOP itu satu penyalahgunaan kuasa yang sangat jelas dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia perlu mendakwa mana-mana ahli politik yang melanggar arahan tanpa berat sebelah.

Bagi pelajar Carlos John, 18, berkata pilih kasih dan pengecualian daripada hukuman bukan lagi sesuatu yang mengejutkan.

“Kami sudah menjangkakannya apabila ahli politik berkuasa.

“Mereka fikir mereka sudah melakukan hal yang betul untuk rakyat dengan memberi bantuan tetapi ia tidak akan memberi manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang,” katanya. – 27 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen