Tempoh kuarantin boleh dipendekkan dengan saringan ketat, kata KP Kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tempoh kuarantin wajib 14 hari boleh dipendekkan dengan penilaian ketat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan boleh mengurangkan tempoh kuarantin wajib 14 hari selepas penilaian ketat kesihatan dibuat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kenyataan itu dibuat selepas kemarahan tercetus dalam kalangan ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam yang mendakwa Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan telah melanggar arahan kuarantin Covid-19 dengan hadir persidangan.

Dr Noor Hisham berkata mana-mana individu yang mahukan perintah kuarantin mereka dipendekkan boleh memohon penilaian kesihatan dengan syarat ketat dibuat pegawai perubatan.

“Tempoh kuarantin adalah 14 hari tetapi jika seseorang memohon perintah (tempoh) dipendekkan, jawatankuasa akan menelitinya dan akan memutuskan jika tempoh boleh dikurangkan,” katanya.

“Kami akan beri pertimbangan sewajarnya (untuk pendekkan kuarantin). Ada kes di mana pada hari ke-13, mereka perlu jalani peperiksaan atau ada temujanji penting seperti pertunangan, dan kami akan jalankan saringan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata saringan yang sepatutnya dibuat pada hari ke-13 boleh dibuat lebih awal seperti hari ke-12 atau 11.

Kitingan dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi berkata beliau diberikan pelepasan daripada menjalani perintah pemantauan dan pemerhatian di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 oleh Kementerian Kesihatan.

Timbalan ketua menteri Sabah berkata surat pelepasan itu, bertarikh Isnin, ditandatangi oleh pegawai perubatan dari Pejabat Kesihatan Lembah Pantai.

“Mana-mana individu yang menjalani kuarantin kendiri boleh memohon pelepasan lebih awal, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan dan selepas menjalani semua saringan kesihatan diperlukan.

“Maka kerana itu, tidak ada isu tiada pematuhan, juga tidak ada isu ‘double standard’ kerana pelepasan awal bukan berunsur politik,” katanya dalam kenyataan. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen