Bersih 2.0 persoal Putrajaya ubah SOP kuarantin wajib


Bersih 2.0 merujuk kepada perubahan SOP Covid-19 selepas Jeffrey Kitingan yang sepatutnya menjalani kuarantin wajib 14 hari hadir pada sidang Dewan Rakyat untuk perbahasan Belanjawan 2021 semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

PUTRAJAYA tidak boleh sesuka hati mengubah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berkenaan kuarantin wajib 14 hari supaya ahli Parlimen kerajaan boleh mengundi untuk meluluskan Belanjawan 2021, kata Bersih 2.0.

Pemantau pilihan raya itu berkata tindakan mengecualikan pengembara dari Sabah ke Semenanjung menjalani kuarantin wajib selama 14 hari jika disahkan negatif jelas menunjukkan Putrajaya menyalahgunakan kuasa.

“Bersih 2.0 menggesa agar pihak kerajaan tidak sewenang-wenangnya mengubah SOP oleh kerana terdapat ahli Parlimen dari blok mereka yang melanggar peraturan.

“Ini sekali lagi satu penyalahgunaan kuasa yang sangat jelas dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia perlu mendakwa mana-mana ahli politik yang melanggar arahan tanpa ada sikap berat sebelah,” kata Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Ia merujuk kepada perubahan SOP Covid-19 selepas Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan yang sepatutnya menjalani kuarantin wajib 14 hari hadir pada sidang Dewan Rakyat untuk perbahasan Belanjawan 2021 semalam.

Menurut Bersih, Kitingan tiba di Kuala Lumpur pada 12 November, dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada minggu lalu berkata semua individu dari Sabah perlu dikuarantin selama 14 hari walaupun didapati negatif.

Kitingan berkata beliau telah diberi pelepasan daripada menjalani pengawasan dan pemerhatian oleh Kementerian Kesihatan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Beliau berkata surat pelepasan bertarikh semalam ditandatangani pegawai kesihatan dari Jabatan Kesihatan Lembah Pantai.

Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan berkata beliau telah diberi pelepasan daripada menjalani pengawasan dan pemerhatian oleh Kementerian Kesihatan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.

“Mana-mana individu yang dikuarantin boleh meminta pelepasan lebih awal, bergantung kepada persetujuan daripada Kementerian Kesihatan dan setelah menjalani pemeriksaan kesihatan diperlukan.

“Oleh itu, tidak timbul masalah ketidakpatuhan dan isu berat sebelah kerana pelepasan awal itu tidak bersifat politik,” katanya dalam kenyataan malam tadi. 

Bersih seterusnya berkata jika SOP diubah semata-mata untuk membolehkan wakil rakyat seperti Kitingan dan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin untuk mengundi bagi meluluskan Belanjawan 2021, ia jelas kerajaan menyalahguna kuasa tanpa menghiraukan kesihatan dan keselamatan orang ramai. 

“Tindakan ini jelas tidak bertanggungjawab sekiranya kerajaan sanggup merendahkan tahap berjaga-jaga semata-mata untuk kepentingan sempit politik mereka.

“Bersih 2.0 berpandangan bahawa bagi mengembalikan hak semua ahli parlimen untuk berbahas dan mengundi sesuatu usul dalam Parlimen, adalah lebih baik untuk kerajaan melaksanakan sidang hibrid (hybrid seating) bagi membenarkan wakil rakyat yang terpaksa dikuarantinkan untuk berbahas dan mengundi secara maya (virtual).”

Bersih juga pada Mei lalu pernah mencadangkan kepada kerajaan supaya sidang Parlimen diadakan secara maya, tambah kenyataan itu.

“Malah sidang hibrid ini juga telah dijalankan oleh Parlimen United Kingdom di mana ada ahli Parlimen yang dibenarkan bersidang di dalam Dewan dan bakinya secara maya. 

“Malangnya kerajaan tidak menerima cadangan ini dan sekarang kelihatan menukar SOP pencegahan penularan wabak pandemik demi kepentingan politik sendiri,” kata Bersih. – 25 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen