Jeffrey Kitingan didakwa langgar kuarantin, datang Dewan Rakyat


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan didakwa langgar tempoh kuarantin wajib 14 hari, yang disyaratkan ke atas wakil rakyat dari Sabah untuk ke Parlimen, apabila hadir ke Dewan Rakyat hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2020.

AHLI Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan didakwa melanggar tempoh kuarantin wajib 14 hari, yang disyaratkan ke atas wakil rakyat dari Sabah yang datang ke Parlimen, apabila hadir ke Dewan Rakyat hari ini.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun bagaimanapun berkata timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya itu sudah diberikan pelepasan oleh klinik kesihatan kerajaan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, semalam.

“Yang Berhormat Keningau dikuarantin sejak 12 November dan didapati negatif ujian Covid-19. Gelang tangannya dipotong hari ini,” katanya, selepas Kitingan masuk ke Dewan Rakyat selepas tengah hari.

Ahli Parlimen Sepanggar Azis Jamman dari Parti Warisan Sabah kemudian bangun mempersoalkan bagaimana Kitingan boleh datang ke Dewan Rakyat sedangkan tempoh kuarantinnya tidak cukup 14 hari.

“Pegawai di KLIA kata tidak ada pengecualian,” katanya.

Azhar menjelaskan maklumat yang ada padanya adalah berdasarkan maklumat yang diberi oleh Kementerian Kesihatan.

“Saya cuma sebut apa (maklumat) yang diberikan kepada saya. Saya tidak boleh nak check setiap seorang ahli Parlimen,” katanya.

Beberapa ahli Parlimen ketika itu menyampuk mendesak Azhar membuat keputusan kerana syarat kuarantin 14 hari sebelum hadir ke persidangan Parlimen adalah peraturan yang dikeluarkan oleh pihaknya sendiri.

“Kita dihadkan 80 orang dalam dewan tetapi Yang Berhormat Keningau datang dari Sabah masuk dewan, ini risiko kepada kita semua,” kata Azis.

Azhar kemudian meredakan keadaan apabila menegaskan beliau akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai status Kitingan.

“Biar saya hubungi pihak pejabat Klinik Kesihatan Lembah Pantai untuk dapatkan maklumat,” balas Azhar.

“Saya sudah minta Keningau tidak hadir ke dewan.”

Dewan Rakyat dijadual mengundi Belanjawan 2021 pada Khamis (26 November).

Status Kitingan berbangkit selepas Fahmi Fadzil (Lembah Pantai-Pakatan Harapan) meminta penjelasan mengenainya daripada Timbalan Speaker Azalina Othman Said, yang mempengerusikan mesyuarat pada masa itu.

“Saya tidak pasti sama ada Yang Berhormat Keningau dalam kuarantin atau tidak, pohon petua daripada timbalan yang di-pertua,” katanya.

Azis kemudian menambah Kitingan hadir persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 12 November lalu, dan tidak sepatutnya berada di Dewan Rakyat sekiranya beliau menjalani kuarantin wajib 14 hari.

“Asas kita dikuarantin ialah supaya ahli-ahli Parlimen tidak terjangkit Covid. 

“Covid tidak memilih jawatan, tidak memilih surat arahan atau pengecualian daripada sesiapa pun,” katanya.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan majoriti tipis yang ada pada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional semakin berkurangan selepas kematian Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman dan sidang DUN Sabah.

Selain Kitingan, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin juga hadir sidang DUN Sabah pada 12 dan 16 November.

Dr Kelvin Yii (Kuching-PH) kemudian meminta Azalina memberitahu Kitingan supaya meninggalkan Parlimen.

Azalina sebaliknya berkata beliau hanya boleh berbuat demikian selepas mendapat pengesahan daripada setiausaha Dewan Rakyat mengenai status timbalan menteri dari Sabah itu.

Teo Nie Chin (Kulai-PH) bagaimanapun mencelah dan mencadangkan Azalina supaya bertanya sendiri kepada Kitingan.

Azalina kemudian berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada setiausaha Dewan Rakyat.

Kitingan hanya duduk membatu sepanjang pertikaian mengenainya berbangkit dan kemudian meninggalkan dewan. – 24 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen