Ahli Parlimen Sabah kuarantin sebelum sidang Parlimen bermula


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong berkata mereka masih dibenarkan memesan makanan menerusi Grab sepanjang dikuarantin di Hotel Istana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2020.

SELAIN lawatan doktor, wakil rakyat Sabah yang sedang menjalani kuarantin tidak ada kontak dengan sesiapa di luar bilik hotel, kata mereka kepada The Malaysian Insight.

“Kami tidak dibenarkan keluar langsung tetapi doktor datang memeriksa tekanan darah saya semalam.

“Ada kerusi di luar bilik di mana mereka letak makanan kami dan lepas makan kami kena letak balik di luar untuk mereka ambil kemudian,” kata Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata beg berwarna kuning dilabelkan “bahaya”.

Wong berkata walaupun ahli Parlimen yang dikuarantin dibenarkan memesan makanan menerusi Grab, ia terhad kepada beberapa kedai popular saja.

“Tetapi Kementerian Kesihatan bagus kerana mereka sediakan dua kotak air mineral masa kami sampai untuk memastikan kami cukup air sepanjang 14 hari,” katanya.

Wong berkata wakil rakyat Warisan, DAP dan PKR tiba di Kuala Lumpur pada 16 Oktober dan mula kuarantin 14 hari di Hotel Istana.

Sabah mempunyai 25 ahli Parlimen daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Bagi menyekat penularan Covid-19 dari Sabah, ahli Parlimen dari negeri itu perlu menjalani kuarantin 14 hari sebelum boleh menghadiri mesyuarat ketiga sidang Parlimen ke-14 yang dijadualkan berlangsung dari 2 November hingga 15 Disember.

Mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di mana gelang tangan pemantauan dipasang dan kemudian menjalani kuarantin 14 hari, seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin dan Ahli Parlimen Kota Belud Isna Munirah tiba dengan penerbangan sama di Kuala Lumpur pada 15 Oktober, untuk menjalani kuarantin sebelum sidang Parlimen bermula 2 November. – Gambar Facebook, 22 Oktober, 2020.

Ahli Parlimen boleh memilih menjalani kuarantin di rumah sendiri atau hotel disediakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Malaysia, yang kini mencatatkan lebih 21,000 kes, merekodkan 10,000 kes jangkitan baharu dalam tempoh dua minggu sejak awal Oktober, berbanding tujuh bulan pertama pandemik ini berlaku dan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Sabah paling teruk terjejas pada masa ini, dengan mewakili hampir satu pertiga daripada semua kes di negara ini, dan satu pertiga kematian.

Pengkritik berkata lonjakan kes di negeri Borneo itu berpunca daripada Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung dari 12 September hingga 26 September.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin yang tiba pada 15 Oktober, mereka menjalani ujian swab ketika tiba di lapangan terbang dan akan disaring lagi pada hari ke-13 kuarantin.

“Kebanyakan ahli Parlimen Sabah memilih tinggal di hotel sepanjang kuarantin. Saya percaya kami semua di Hotel Istana.

“Tetapi kami tidak berjumpa ahli Parlimen lain kerana tidak dibenarkan keluar bilik,” katanya.

Wong berkata rakan sekejeranya menghantar buku dan makanan untuk membantunya menghadapi kuarantin.

“Dan ada yang hantar coklat juga,” katanya.

“Dan jika saya bosan, saya akan cuba buat tabata (senaman).” – 22 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen