Ajal dan kuarantin kurangkan majoriti untuk Belanjawan 2021 lulus


Chan Kok Leong

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memindahkan tarikh pengundian Belanjawan 2021 dari 23 November ke 26 November. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

BELANJAWAN 2021 memerlukan semua ahli parlimen kerajaan hadir dan mengundi minggu depan ketika seorang meninggal dunia dan seorang lagi Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin perlu menjalani kuarantin Covid-19 sehingga hujung bulan ini.

Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman meninggal dunia dua minggu lepas sementara Bung, yang juga timbalan ketua menteri Sabah, hadir di persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada Isnin lalu.

Beliau perlu menjalani kuaratin 14 hari apabila datang ke Semenanjung, berdasarkan peraturan yang diumum oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini.

Walaupun Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memindahkan tarikh pengundian Belanjawan 2021 dari 23 November ke 26 November, Bung yang juga pengerusi Umno Sabah masih akan terlepas peluang untuk ikut serta kerana kuarantinnya paling awal akan berakhir pada Isnin, 30 November.

Ini menjadikan Perikatan Nasional mempunyai 111 ahli Parlimen berbanding pembangkang yang ada 108, selepas Ahli Parlimen Batu Sapi Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober.

Dengan majoriti tipis itu, penganalisis menjangkakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan diuji sokongannya dengan rang undang-undang perbekalan bagi tahun hadapan, selepas semua usul undi tidak percaya dan percaya tidak diberi keutamaan dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen memaklumkan di Facebook semalam tarikh pengundian Belanjawan 2021 bagi peringkat dasar dipindahkan ke 26 November.

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin perlu menjalani kuarantin Covid-19 sehingga hujung bulan ini.–  Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

Bung, yang juga wakil rakyat Lamag, pulang ke Sabah untuk menghadiri pembukaan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Sabah ke-16 pada 12 November lalu, bersama Adun Tambunan Jeffrey Kitingan, yang juga presiden Star.

DUN Sabah bersidang selama dua hari pada 12 November dan Isnin lalu, 16 November.

Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau difahamkan sudah meninggalkan Sabah tetapi tidak dapat dipastikan berada di mana. Bung bagaimanapun tetap di Sabah untuk hadir persidangan dewan undangan negeri awal minggu ini.

Empat lagi ahli Parlimen Sabah, yang juga wakil rakyat negeri, tidak pulang untuk menghadiri persidangan DUN.

Tiga daripada mereka dari Parti Warisan Sabah iaitu bekas ketua menteri Mohd Shafie Apdal (Parlimen Semporna/DUN Senallang), Darell Leiking (Penampang/Moyog) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu/Segama). Seorang lagi dari PKR iaitu Christina Liew (Tawau/Api-Api).

Ahli Parlimen Sabah diwajibkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebelum boleh hadir ke sidang Dewan Rakyat bermula 2 November lalu, susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri itu.

Ahli Parlimen Sabah dari Pakatan mengesahkan kepada The Malaysian Insight bahawa sehingga hari ini arahan kuarantin 14 hari untuk ahli Parlimen dari negeri itu yang masuk ke Semenanjung masih kekal walaupun selepas mereka menjalani kuarantin sama dan disahkan negatif sebelum sebelum ini. –  18 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen