Ketibaan pelancong turun 9 juta pada separuh pertama 2020


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Berlaku penurunan ketara sebanyak 9 juta orang pelancong pada enam bulan pertama 2020 berbanding tempoh sama tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2020.

PADA separuh pertama 2020, ketibaan pelancong berkurangan sebanyak 9.1 juta orang, kata Nancy Shukri.

“Ini diterjemahkan kepada penurunan 68.2% kepada 4,252,997 ketibaan berbanding 13,354,575 pada separuh pertama 2019.

“Perbelanjaan pelancong juga menurun sebanyak 69.8% kepada RM12.57 bilion daripada RM41.69 bilion dalam tempoh sama tahun lepas,” kata menteri pelancongan itu dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, hari ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menjangkakan kerugian lebih daripada RM100 bilion dalam perolehan pelancongan pada 2020 disebabkan kehilangan perbelanjaan pelancong, kata Shukri.

Kehilangan perolehan itu juga berlaku daripada industri penginapan, pengangkutan, beli belah dan makanan dan minuman.

“Motac sekarang sedang menilai kesan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di beberapa negeri dan lokasi disebabkan gelombang ketiga pandemik Covid-19,” kata ahli Parlimen Batang Sadong itu lagi.

Katanya, kerajaan juga sudah melancarkan beberapa inisiatif di bawah program Prihatin dan Penjana bagi membantu sektor pelancongan berdepan kesan Covid-19.

“Antarranya adalah pengecualian cukai bermula 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021, pengecualian cukai perkhidmatan untuk penginapan, pengecualian cukai RM1,000 untuk pelancong tempatan, subsidi upah dan pelbagai lagi pengecualian untuk operator pelancongan.”

Shukri menjawab soalan Fong Kui Lun (Bukit Bintang-PH) berkaitan penurunan ketibaan pelancong pada 2020. – 24 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen