Pelan pemulihan sektor pelancongan mula tunjuk perkembangan positif, kata menteri


Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri berkata usaha penyemarakan pelancongan domestik terus dilaksanakan seperti melalui penganjuran program Semarak Pelancongan Domestik dan Kempen Cuti-cuti Malaysia untuk membantu penggiat industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2020.

PELAN pemulihan sektor pelancongan dan kebudayaan melalui kempen pelancongan domestik yang bermula sejak Jun lepas bagi mendepani pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesan pandemik Covid-19, kini telah mula menampakkan perkembangan positif.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri berkata usaha penyemarakan pelancongan domestik terus dilaksanakan seperti melalui penganjuran program Semarak Pelancongan Domestik dan Kempen Cuti-cuti Malaysia untuk membantu penggiat industri.

Katanya sebelum penguatkuasaan PKP, industri pelancongan dan kebudayaan adalah antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang lebih kurang 15.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

“Pada 2019, pendapatan melalui industri pelancongan meningkat kepada RM86.1 billion berbanding RM84.1 billion pada 2018. Namun, setelah berkuatkuasanya PKP, sektor ekonomi di bawah portfolio MOTAC (Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan) adalah antara sektor yang paling terkesan dan telah memberi impak negatif kepada pertumbuhan sektor ekonomi secara keseluruhan.

“Dalam mengharungi cabaran ini, pastinya saya dan pasukan  dedikasi saya di MOTAC sentiasa mencari inisiatif dan langkah terbaik ke arah The Great re-set dalam membantu merancakkan semula sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan khususnya pelancongan domestik,” katanya pada Malam Puisi Perdana Hari Malaysia Bersama Kerabat Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Wisma MPM, malam ini.

Nancy berkata kementerian itu juga kini tampil dengan kempen pelancongan domestik yang baharu iaitu ‘Cuti-Cuti Kuala Lumpur’ yang memberi fokus kepada rakyat tempatan dari seluruh negara untuk melancong ke Kuala Lumpur.

“ Walaupun Kuala Lumpur lebih sinonim dengan status sebagai ibu negara, tidak dapat kita nafikan bahawa ia juga mempunyai tarikan pelancongan yang sangat hebat dan menjanjikan sesuatu untuk setiap lapisan masyarakat Malaysia yang datang ke sini,” katanya. 

Beliau berkata MOTAC sedang mengkaji dan menambah baik Program Pengalaman Homestay Malaysia bagi menarik golongan muda khususnya di luar bandar untuk melibatkan diri dalam program pelancongan, seni dan budaya, selain meningkatkan jenama program itu sebagai antara produk pelancongan yang utama di negara ini.

Sementara itu, Nancy berkata kementerian itu melalui agensinya secara konsisten terus mewujudkan pembangunan modal insan penggiat industri melalui pelaksanaan aktiviti bimbingan bidang seni dan budaya kepada generasi muda di peringkat sekolah dan pengajian tinggi.

“ Antara program yang saya maksudkan adalah Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB) dan program berkaitan pemuliharaan seni budaya dan warisan,” katanya.

Acara yang diadakan sempena sambutan Bulan Merdeka dan Hari Malaysia yang bertemakan ‘Kedaulatan Bangsa dan Negara’ itu menampilkan tokoh dan personaliti tanah air seperti Tun Haniff Omar, Prof Dr Zainal Kling, Prof Dr Awang Sariyan dan Jamal Abdillah untuk mendeklamasikan puisi. – Bernama, 15 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen